BEBERAPA perkara berbangkit yang meresahkan ibu bapa seperti kandungan kurikulum sedia ada yang kurang sesuai dengan usia murid mendapat respons segera Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi pelaksanaan Intervensi Kurikulum.
Menjadi salah satu daripada hala tuju Reformasi Pendidikan yang sedang berjalan ketika ini, Intervensi Kurikulum bertujuan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikannya relevan dengan keperluan murid sebagaimana diumumkan pada 18 Mac lalu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, penambahbaikan itu perlu bagi menangani isu keciciran pembelajaran dalam kalangan murid.
BACA LAGI: Lebih 122,000 murid Tahun 1 ikuti Intervensi Kurikulum tangani keciciran pembelajaran
BACA LAGI: 50 peratus kepadatan subjek Matematik, Sains dikurangkan
Beliau berkata, empat inisiatif itu antara lain ialah Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 yang melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Tahap I sedia ada.
Selain itu, ialah pengesanan awal literasi dan numerasi untuk murid Tahun 1 bertujuan mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta memerlukan intervensi awal yang bersesuaian dengan kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran mereka.
Seterusnya ialah Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa. Pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik bagi semua mata pelajaran juga ditukar dalam bentuk peratus dan gred dan boleh diakses secara dalam talian.
Intervensi Kurikulum juga melibatkan latihan untuk guru dengan menyediakan latihan supaya warga pendidik dapat melaksanakan penjajaran kurikulum menerusi penganjuran webinar.
Azman (tengah) berkata, Intervensi Kurikulum bertujuan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikannya relevan dengan keperluan murid.
Berikut merupakan perincian terhadap status pelaksanaan kepada keempat-empat inisiatif yang digariskan oleh KPM di bawah Intervensi Kurikulum.
1. Susunan semula kurikulum
Mata pelajaran Matematik dan Sains bagi murid Tahap I menunjukkan pengurangan kepadatan sehingga 50 peratus susulan penyusunan semula kurikulum menerusi penjajaran KSSR sejak dilaksanakan bermula Mac lalu, seawal kalendar akademik 2023/2024.
Inisiatif di bawah Intervensi Kurikulum itu menyaksikan terdapat perbezaan sebelum dan selepas dari segi kepadatan dalam topik-topik tertentu bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit.
Azman berkata, penjajaran KSSR akan dapat memudahkan guru-guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya memudahkan murid memahami semua standard pembelajaran yang ditetapkan dalam kurikulum sekolah.
"Berdasarkan penyusunan ini melibatkan pengemaskinian standard pembelajaran dan kandungan bagi topik-topik tertentu dalam subjek Sains dan Matematik sedia ada, kita telah dapat membuat pengurangan kepadatan kurikulum kedua-dua mata pelajaran itu sebanyak 50 peratus.
"Antara pengemaskiniannya ialah kita gabungkan beberapa standard pembelajaran dan standard kandungan yang akhirnya dapat mengurangkan kepadatan dalam kurikulum, bahkan ada sesetengah topik daripadanya kita bawa ke Tahun 2," katanya.
Azman berkata, dokumen penjajaran kurikulum itu juga bukan sahaja untuk Sains dan Matematik, malah boleh digunakan bersama dengan Modul Bimbingan (Mobim) untuk dua lagi subjek lain iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Modul Mobim banyak membantu guru melaksanakan PdP lebih-lebih lagi buat guru yang bukan opsyen Sains tapi mengajar subjek tersebut. — FB Mohd Firdaus Mohd Jamil
ii) Pengesanan awal literasi dan numerasi
Seramai 122,062 daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun 1 sesi persekolahan 2024/2025 dikenal pasti perlu mengikuti program intervensi bagi meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Daripada jumlah itu, seramai 62,928 daripada keseluruhan murid yang perlu mengikuti program intervensi belum menguasai literasi dan numerasi di tahap penguasaan minimum, iaitu Tahap Penguasaan 1.
Selain itu, sebanyak 45,465 murid dikenal pasti belum menguasai literasi manakala 13,669 murid belum menguasai numerasi.
Azman memberitahu, murid-murid berkenaan akan menjalani intervensi di sekolah dengan mengikuti kelas khas dalam kelompok lebih kecil selama tiga bulan bersama guru masing-masing.
Katanya, jumlah murid terlibat dalam intervensi bagi sesebuah kelas adalah bergantung kepada kesesuaian pihak pengurusan sekolah dan guru-guru.
"Jadi guru-guru akan tahu tahap kompetensi pencapaian anak-anak dalam aspek literasi dan numerasi ataupun kedua-dua aspek tersebut.
"Kebiasaannya, di sekolah kumpulan murid dalam jumlah lebih kecil adalah lebih baik dan mudah untuk diberi bimbingan bagi memastikan mereka lebih kompeten," katanya.
Murid-murid menjalani intervensi dengan mengikuti kelas khas dalam kelompok lebih kecil selama tiga bulan bersama guru masing-masing. — Facebook SK Trolak Timur
Mengulas lanjut, Azman berkata, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan oleh guru-guru bagi membolehkan murid-murid berkenaan mencapai tahap penguasaan minimum atau Tahap Penguasaan 1.
"Saringan berikutnya akan dibuat selepas tiga bulan dan kalau melepasi tahap penguasaan minimum intervensi itu, murid-murid terbabit akan masuk kelas arus perdana atau kelas biasa.
"Kalau belum menguasai, akan masuk lagi kelas intervensi Fasa 2 dan seterusnya menerusi intervensi bersesuaian sehingga mereka capai Tahap Penguasaan 1 itu.
Azman berkata, pihaknya berharap menerusi pelaksanaan kelas intervensi itu, angka murid yang belum menguasai literasi dan numerasi akan lebih mengecil.
Beliau berkata, murid kumpulan intervensi itu tetap akan beralih ke Tahun Dua jika belum menguasai kemahiran literasi dan numerasi di Tahap Penguasaan 1 pada akhir kalendar akademik 2024/2025.
iii) PBD mesra ibu bapa
Azman berkata, PBD berperanan membantu pengesanan awal literasi dan numerasi murid Tahun 1 selepas murid mengikuti persekolahan selama tiga bulan.
Pelaporan PBD yang mesra ibu bapa juga diperkenalkan yang mana laporan tahap penguasaannya dipermudahkan. — Facebook SK Tekek Pulau Tioman
Selain itu, katanya, pelaporan PBD yang mesra ibu bapa juga diperkenalkan di mana laporan tahap penguasaannya dipermudahkan manakala pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik bagi semua mata pelajaran akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred.
"Pelaporan PBD itu juga boleh diakses oleh ibu bapa secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu," katanya.
iv) Latihan untuk guru
Langkah keempat ini kata Azman, disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sekolah rendah melalui penganjuran taklimat, bengkel dan latihan.
Ini menurutnya penting agar semua inisiatif yang dilaksanakan KPM dapat dipikul dengan baik oleh guru-guru.
Sebahagian guru SK Parit Raja Muar mengikuti Program Pembelajaran-Digital Latihan Murid di Rumah.
Penataran bagi kurikulum yang telah disusun semula itu juga dilaksanakan menerusi penganjuran webinar.
Sesi webinar dilaksanakan secara bersiri bermula pada 19 Mac 2023 dan dihadiri guru sekolah rendah di seluruh negara
Dalam pada itu, Azman berkata, KPM mewujudkan pasukan task force berkaitan Intervensi Kurikulum yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum) selain dianggotai semua bahagian terlibat di kementerian dan disertai bersama Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.
Fungsi pasukan khas ini merangka pelaksanaan intervensi kurikulum, menetapkan aktiviti utama dan aktiviti sokongan selain memantau pelaksanaannya.
Akhir sekali, Azman berkata, KPM komited memastikan intervensi kurikulum yang sedang dilaksanakan dapat memberi impak positif kepada pengalaman pembelajaran murid serta kualiti pendidikan secara keseluruhan.
"Kurikulum yang disusun semula diharap dapat memenuhi keperluan dan gaya pembelajaran murid melalui penyediaan bahan pembelajaran yang relevan.
"Sokongan masyarakat termasuk ibu bapa dan pihak berkepentingan lain adalah diharapkan bagi memastikan inisiatif ini berjaya," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram