Tak kedekut hulur bantuan, Ben jadi hero tidak bertopeng selesaikan masalah penduduk di Bangsar


  • Massa
  • Sabtu, 21 Sep 2024

Ben antara individu yang sentiasa berusaha membantu penduduk di sekitar kawasan Bangsar, Kuala Lumpur. — The Star

BAGAIKAN hero tak didendang, Benedict Lopez atau lebih mesra disapa sebagai Ben tidak lokek menghulurkan bantuan kepada penduduk setempat yang sering menghadapi pelbagai masalah.

Segala isu berbangkit berkaitan kebersihan dan keharmonian kawasan kejiranan Ben di Taman Bangsar, Kuala Lumpur pasti sentiasa cuba diselesaikannya.

Ini juga termasuk isu yang bukan berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Elak risiko, teknologi dron bantu pihak berkuasa buat operasi kawalan mencabar

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita menangis dapat bantuan masa hujan, cuma ramai cadang guna khidmat PLUS elak nahas

6296163873023180252

Ben menjadi penyelamat penduduk di sekitar Bangsar. — Gambar hiasan

Kehadiran Ben sentiasa disenangi ramai apabila selalu berusaha menyampaikan suara penduduk dengan menggunakan kemampuannya sebagai bekas Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Kesungguhannya mencari jalan penyelesaian dengan pantas itu membuatkan orang ramai kagum dengan keupayaan Ben.

Mana tidaknya, ketika masih berkhidmat di MIDA, Ben menjalinkan hubungan yang baik dengan pegawai-pegawai penting di beberapa jabatan dan pihak majlis berkaitan sehingga segala isu berbangkit itu dapat ditangani segera.

Antara masalah yang pernah dibantunya adalah melibatkan kerosakan kemudahan awam, keselamatan haiwan, penduduk dan bencana alam seperti banjir atau kejadian pokok tumbang.

Berkongsi lanjut, Ben kebiasaannya akan menerima aduan daripada penduduk melalui nota dengan penerangan ringkas tentang masalah dihadapi mereka.

2800715

Longkang tersumbat antara masalah yang sering diselesaikan oleh Ben. — Gambar hiasan

Seperti yang berlaku baru-baru ini apabila berlakunya kejadian seekor anak kucing tersangkut di dalam longkang ketika ribut dan petir melanda.

Ben berkata, mesej ringkas kemudiannya dihantar kepada kenalannya sehingga haiwan comel itu dapat diselamatkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada waktu itu.

Bukan sekadar itu, Ben juga pernah menyumbangkan jasa kepada penduduk setempat ketika banjir yang melanda kawasan Lorong Maarof, Kuala Lumpur dengan kejadian pokok-pokok tumbang di sepanjang jalan raya.

Ben yang memaklumkan kejadian itu kepada DBKL mengejutkan orang ramai apabila kesemua pokok tersebut dipotong dan dibersihkan bagi memastikan ia selamat digunakan untuk pejalan kaki.

"Ramai penduduk tidak pasti cara untuk hubungi pihak berkuasa yang berkaitan untuk menangani masalah.

"Disebabkan itu, saya mengambil langkah menjadi penghubung untuk membuat laporan ringkas kepada pihak berkenaan," katanya.

Kata Ben, terdapat banyak isu penduduk yang dapat diselesaikan melalui pemerhatiannya ketika berjalan sejauh lima kilometer di kawasan itu setiap hari.

Antara pencapaiannya yang paling berharga adalah Ben berhasil memasang pemegang tangan di sepanjang tangga di Jalan Maarof.

media_2fffd010bf0bf182aeda2a23e722e9ec

Melihat kanak-kanak dapat menikmati kemudahan seperti taman permainan merupakan kepuasan kepada Ben. — Gambar hiasan/Santosctzx

Tindakannya itu dilakukan selepas melihat wanita warga emas bersusah payah untuk menaiki dan menuruni tangga tersebut.

Ben juga pernah membantu penduduk yang berdepan dengan masalah longkang tersumbat sehingga menyebabkan bau busuk di sekitar kawasan kejiranannya.

Bertindak pantas dengan aduan itu, Ben membawa beberapa pekerja pembersihan untuk membersihkan longkang tersebut, sekali gus membolehkan air disalurkan dengan baik.

Ben turut menjadi penyelamat ketika berlakunya kerosakan pada lampu isyarat di persimpangan jalan, laluan pejalan kaki, trek larian dan menambah baik taman permainan untuk kegunaan kanak-kanak di Taman Jalan Rumpai, Bangsar.

Melihat raut wajah gembira mereka menikmati kemudahan di taman merupakan satu kepuasan dan kebanggan buat Ben.

Pihak berkuasa pada masa sama turut senang apabila wujudnya penduduk yang sangat responsif serta peka terhadap keadaan semasa.

Usaha Ben sebagai penghubung dengan pihak berkuasa itu sememangnya perlu diberi perhatian kerana tidak pernah berkira dalam memberi pertolongan.

Baginya, tindakannya itu juga adalah disebabkan rasa cinta terhadap tempat tinggalnya yang telah didiami selama lebih 50 tahun. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram