PM Anwar nafi siasatan pemandu e-hailing ditumbuk pengiring VIP ditutup


  • Primer
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Tangkap layar video kamera papan pemuka kereta pemandu OKU yang didakwa diserang oleh anggota pengiring VIP di lobi hotel di Kuala Lumpur pada Mei lalu.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan pihak polis menutup siasatan berhubung kes pemandu e-hailing Orang Kurang Upaya (OKU) yang didakwa dipukul oleh pengiring orang kenamaan.

Anwar berkata, orang ramai perlu memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan yang mungkin mengambil sedikit masa.

"Siapa kata kes ini ditutup? Kes ini memang membimbangkan, saya sendiri pun ambil maklum, biarlah polis siasat dan setelah berpuas hati dengan siasatan, barulah kita ambil tindakan.

"Jangan kita ambil hukum berdasarkan persepsi dan khabar angin. Negara kita ada undang-undang, semuanya mesti ada fakta, bukti jelas, apabila siasatan polis selesai, akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk memutuskan pihak mana yang didakwa atau tidak dan ini semua mesti berdasarkan fakta," katanya pada Jumaat.

BACA LAGI: Cuaca buruk 3 negeri: Waspada amaran dikeluarkan MetMalaysia — Ahmad Zahid

BACA LAGI: [VIDEO] Feri bawa lebih 500 penumpang terkandas, dipercayai tersangkut beting pasir di perairan Kuala Perlis

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anwar menegaskan bahawa siasatan terhadap kes tersebut masih berjalan. — The Star

Sebelum ini, media melaporkan seramai hampir 200 individu yang mewakili kumpulan OKU, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan, serta pekerja e-hailing yang menggesa Perdana Menteri campur tangan selepas mendakwa tiada tindakan diambil terhadap pihak yang mengarahkan mangsa, Ong Ing Keong menarik balik laporannya.

Wakil kumpulan itu juga memaklumkan bahawa mereka sudah menyerahkan memorandum itu kepada seorang Pegawai Kanan dari Pejabat Perdana Menteri.

Ong, 48, sebelum ini juga mendakwa dipukul pegawai pengiring rombongan ternama di lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Mei lalu, atas alasan menghalang laluan rombongan berkenaan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram