MEMILIKI kelainan upaya tidak menjadi halangan buat seorang pemuda menonjolkan bakatnya dalam bidang yang diminati.
Jika dilihat dari luarannya, siapa sangka Andrew Goh Yie mampu menguli doh dengan menggunakan satu tangan sahaja untuk menghasilkan kuih bulan yang sempurna.
Pergerakan tangannya yang lincah dan pantas juga membuatkan ramai tidak menyedari bahawa Andrew mempunyai masalah penglihatan dan pendengaran.
BACA LAGI: Bergelar atlet tidak halang Nurul Hannah raih Anugerah Naib Canselor
BACA LAGI: [VIDEO] 'Satu dalam sejuta', kisah pelanggan 'degil' selalu belanja rider makanan jadi ikutan
Andrew mahir menguli doh dengan satu tangan sahaja walaupun tidak dapat melihat dengan jelas. — Gambar hiasan/Agensi
Mengimbau kembali keadaannya ketika baru-baru mahu menyesuaikan diri dengan kelainan itu, dia tidak menafikan bahawa pernah melalui fasa kegelapan.
"Saya pernah bergelut ketika bertugas saya kerana kecacatan pada penglihatan yang saya alami sejak saya lahir.
"Beberapa tahun lalu pula, saya sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan pendengaran saya dan terus memeriksanya di hospital.
"Kini, saya perlu memakai alat bantuan pendengaran untuk bantu mendengar dengan lebih jelas," katanya.
Lelaki berusia 27 tahun itu turut berkongsi kisahnya ketika mula bekerja dengan keadaan diri yang tidak boleh melihat dan mendengar.
Andrew pada awalnya tidak berani memberitahu mana-mana majikannya sebelum ini tentang masalah tersebut kerana bimbang tidak diterima bekerja.
Dia juga meluahkan bahawa pernah dimarahi di tempat kerja kerana tidak dapat memahami dan mengikuti arahan yang diberikan.
"Saya takut kehilangan pekerjaan. Ia juga akan menjejaskan peluang saya untuk diambil bekerja.
"Saya sering dimarahi di tempat kerja kerana tidak dapat mengikuti arahan dan mendengar arahan yang salah," ceritanya.
Persatuan Gemilang Istimewa yang menyediakan latihan pembuatan roti dan pastri khusus buat golongan OKU lain termasuk autisme. — The Star
Mempunyai minat mendalam dalam bidang pembuatan roti sejak 20 tahun lalu, Andrew tidak pernah berputus asa untuk mencari peluang pekerjaan di serata tempat.
Dia juga mengambil langkah mengikuti kursus pembuatan roti dan pastri demi membolehkannya mendapat pengiktirafan sekali gus melayakkannya mendapatkan pekerjaan sesuai dengan bidang itu.
Selepas menamatkan kursus tersebut, Andrew sentiasa mencuba mencari peluang dengan bekerja di beberapa kedai roti sebelum Covid-19 melanda pada 2021.
Meskipun begitu, usahanya tidak pernah terhenti sehingga ditawarkan untuk menyertai latihan dan bekerja buat golongan berkeperluan khas di sebuah kafe di Taman Molek, Johor Bahru, Johor pada November 2021.
Latihan itu dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Gemilang Istimewa setiap Isnin hingga Jumaat.
"Saya ambil peluang ini untuk bekerja di sana dan sangat gembira dapat melakukannya kerana guru dan sukarelawan di kafe itu sangat sabar dalam mengajar dan membimbing saya.
"Dulu saya hanya tahu membuat roti, tetapi kini, saya dapat belajar buat pau (roti kukus) dan memasak inti yang berbeza untuknya.
"Sangat penting bagi saya untuk bekerja dan mencari rezeki daripada menjadi beban kepada ibu bapa saya," jelasnya.
Tambahnya, Andrew gemar membuat roti agar dapat membantu menguatkan deria sentuhannya.
Latihan kemahiran amat penting buat golongan OKU untuk menonjolkan bakat terpendam. — Gambar hiasan/Facebook Persatuan OKU Sentral
Pelatih di kafe yang terdiri daripada sukarelawan itu juga membantunya dalam memastikan ukuran bahan dan langkah untuk menghasilkan produk dengan tepat.
"Saya berasa puas apabila dapat tahu roti dan roti kukus yang saya buat dihidangkan kepada pelanggan kami terutama apabila mereka memuji rasanya," katanya.
Dengan tahap penglihatannya yang semakin merosot itu, Andrew bertekad mahu terus bekerja dan membuat simpanan wang sebanyak mungkin setakat ini walaupun terpaksa menangguhkan impiannya untuk membuka perniagaan pastri dan roti kukus suatu hari nanti.
Baginya, menjalankan sebuah perniagaan akan membuatkannya lebih tertekan dan menjejaskan kesihatan diri jika tidak dapat diuruskan dengan betul.
Melihat keadaan itu, ia secara tidak langsung menunjukkan betapa pentingnya golongan kelainan upaya (OKU) diberi peluang sama rata dalam apa jua bidang di Malaysia.
Selaras dengan aspirasi kerajaan dan konsep Madani yang memastikan rakyat negara ini tanpa mengira keadaan fizikal, sosial, kaum dan agama tidak dipinggirkan dalam mencapai aspirasi mereka.
Selain Pertubuhan Gemilang Istimewa, terdapat juga pusat latihan kemahiran khusus untuk golongan itu dikenali sebagai Persatuan OKU Sentral yang dinaungi oleh Presidennya, Datuk Ras Adiba Mohd Radzi.
Persatuan tersebut ditubuhkan dengan menyediakan pelbagai latihan, kursus dan sijil kemahiran asas termasuk bersukan bagi memperkasakan lagi komuniti OKU di Malaysia. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram