Cuaca buruk 3 negeri: Waspada amaran dikeluarkan MetMalaysia — Ahmad Zahid


  • Primer
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan MetMalaysia. — Gambar hiasan

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan orang ramai agar mendengar nasihat pihak berkuasa dan mengambil langkah berjaga-jaga berhubung amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Beliau turut berkongsi bahawa Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus sudah memberi taklimat berkaitan situasi banjir di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Menurutnya, jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 6,087 orang pada pagi Jumaat berbanding Khamis iaitu hanya 4,425 orang.

BACA LAGI: [VIDEO] Feri bawa lebih 500 penumpang terkandas, dipercayai tersangkut beting pasir di perairan Kuala Perlis

BACA LAGI: Remaja hamil cedera parah, kandungan 5 bulan gugur lepas kena timpa pokok di Perlis

Ahmad Zahid menyarankan agar orang ramai lebih mengambil langkah berjaga-jaga. — The Star

Ahmad Zahid berkata, sebanyak 1,942 keluarga kini ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara di tujuh daerah.

"Sebanyak 1,942 keluarga kini ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara di tujuh daerah. Situasi di Perlis dan Pulau Pinang pula tidak banyak berubah.

"Sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi bencana alam, saya akan melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional pada Oktober nanti," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Tambahnya, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan orang ramai menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir dan ribut petir yang semakin kerap berlaku.

"Utamakan keselamatan dan lindungi diri anda serta orang tersayang," pesannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram