"SUSAH nak cari negara yang unik macam kita ni," itulah kata-kata yang diluahkan oleh pempengaruh, Khairul Aming menerusi rakaman videonya dalam acara Keretapi Sarong 2024.
Khairul Aming meluahkan rasa sebak sewaktu melakukan proses menyunting rakaman video yang diambil dalam acara berkenaan.
"Sebenarnya bila edit video ni air mata aku mengalir rasa sebab sebab terharu dapat dilahirkan dekat negara yang harmoni macam ni," katanya.
BACA LAGI: Bangga Malaysia tema Keretapi Sarong 2024, alu-alukan penyertaan OKU, warga emas
BACA LAGI: Acara unik 'Keretapi Sarong 2023' kembali lagi sempena Hari Malaysia
Khairul Aming mengakui kadangkala berlaku perselisihan faham antara segelintir individu, namun usaha mengukuhkan keharmonian adalah bergantung dengan kerjasama semua pihak.
"Memang betul kadang-kadang ketidaksefahaman itu wujud.
"Itu memang kita tak nafikan tetapi dalam dunia yang terus berubah ni, kitalah yang kena bersama-sama pertahankan kerharmonian negara kita," katanya.
Menghargai kurniaan Tuhan, lelaki berusia 31 tahun itu berharap orang ramai tidak lupa untuk bersyukur apabila dilahirkan dalam negara yang aman ini.
"Memang tak sempurna... Kalau tengok berita pun ada saja benda yang tak kena setiap hari. Tetapi dalam masa yang sama janganlah kita lupa untuk bersyukur dengan nikmat yang kita dapat.
"Negara kita dikurniakan dengan tanah yang subur, alam sekitar yang indah, orang yang baik dan negara yang aman.
"Jadi janganlah disebabkan Bbnda-benda kecik Kita berselisih faham sesama kita," katanya.
Dia juga menyeru orang ramai untuk berganding bahu bagi mengekalkan perpaduan ini.
"Perpaduan ni bukan usaha seorang dua tetapi usaha kita semua... Kita boleh dengan bangganya menjawab Saya anak Malaysia," katanya.
Pada Sabtu, acara Keretapi Sarong 2024 diadakan bersempena Hari Malaysia dengan penyertaan rakyat berbilang bangsa yang menaiki pengangkutan awam, terutamanya kereta api, Mass Rapid Transit (MRT) atau LRT.
Eksekutif Pengurusan Projek dan Kandungannya, Adam Faizal berkata, pengumpulan ribuan masyarakat untuk memeriahkan program itu melibatkan sembilan stesen tren di Lembah Klang.
"Stesen terlibat seperti Subang Jaya (LRT); Gombak(LRT); Putrajaya Sentral; KL Sentral (LRT/MRT/KTM); Kajang (MRT); Ampang (LRT); UPM (MRT); TTDI (MRT) dan Sri Damansara Sentral (MRT)," katanya kepada Majoriti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram