Bazirkan dana awam, PM Anwar batal rombongan 68 pegawai kementerian, agensi ke pameran Berlin


  • Primer
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Anwar membatalkan perjalanan lawatan sebuah kementerian dan agensi kerajaan ke pameran di Berlin kerana melibatkan 68 pegawai. — The Star

RANCANGAN sebuah kementerian dan agensi untuk menghadiri pameran di Berlin, Jerman mengundang ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia melibatkan 68 pegawai.

Anwar memaklumkan, lawatan itu terpaksa dibatalkan meskipun tiket penerbangan dan penginapan hotel sudah ditempah.

Beliau menegaskan, langkah itu merupakan mesej jelas kepada semua bahawa kerajaan Madani tidak akan berkompromi dengan sebarang pembaziran dana awam di samping mengukuhkan komitmen untuk reformasi institusi perkhidmatan awam.

BACA LAGI: [VIDEO] Niat murni leraikan pergaduhan jiran punca lelaki maut kena tetak depan anak, suspek masih bebas di Keningau

BACA LAGI: Perlis negeri pertama keluar fatwa, GISBH sebar ajaran sesat

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anwar memutuskan untuk tidak berkompromi terhadap pembaziran dana awam. — The Star

Menurutnya, menteri yang merancang lawatan ke luar negara mesti membentangkan kertas kerja kepada Kabinet terlebih dahulu.

"Sebagai contoh, ada pameran di Berlin dalam skala kecil, tetapi saya perhatikan daripada kakitangan kementerian dan agensi, 68 orang telah mendaftar untuk pergi, walaupun hanya sebilangan kecil yang terlibat.

"Biasanya, kami akan kurangkan dan menentukan sama ada dua atau tiga kakitangan sahaja diperlukan, dan jika tidak perlu, mereka diminta menangguh atau menggabungkan lawatan mereka dengan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

"Dengan cara ini, memorandum persefahaman boleh ditandatangani dan ia menjimatkan kos," katanya.

Beliau berkata, Kabinet juga memutuskan semua projek baharu dan perjalanan ke luar negara mesti dirujuk kepada Ketua Setiausaha Negara atau Ketua Pengarah sebelum diluluskan oleh menteri masing-masing.

"Saya ingin menyatakan bahawa pembaharuan dalam jabatan kerajaan, syarikat kerajaan dan agensi mesti diteruskan.

"Pada Rabu lalu ketika mesyuarat Kabinet, kami telah memutuskan untuk lebih tegas dengan semua syarikat dan agensi kerajaan.

"Walaupun Lembaga Pengarah mempunyai kuasa, kadangkala mereka membuat keputusan yang memihak kepada kepentingan mereka sendiri.

"Justeru, ini perlu dilakukan dan dapatkan diluluskan oleh menteri masing-masing bagi memastikan akauntabiliti secara langsung," tegasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram