
SPESIES flora dan fauna yang tidak pernah dilihat di Gunung Nuang di Hulu Langat, Selangor, ditemui semasa ekspedisi saintifik yang dijalankan baru-baru ini.
Selain pelbagai paku pakis dan ular, gunung tersebut turut menjadi rumah kepada beberapa spesies burung enggang dan spesies burung lain.
Turut kelihatan ialah rusa, muntjac (kijang) dan tapir Malaya, serta kesan cakar dipercayai beruang matahari.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Lebih menarik lagi, walaupun terdapat aktiviti pembalakan pada 1960-an dan 1970-an, pemerhatian awal menunjukkan bahawa Gunung Nuang sudah mengalami pemulihan.
Timbalan Dekan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Nazre Saleh berkata, ini berdasarkan kehadiran beberapa indikasi atau bioindikator seperti kelawar dan belalang jarum di sungai.
Bioindikator merujuk kepada organisma atau tindak balas biologi yang digunakan untuk menilai kesihatan persekitaran ekosistem semula jadi.
“Bilangan kelawar yang tinggi menunjukkan biom (biome) yang sihat, kerana haiwan itu membantu dalam pendebungaan tumbuhan dan penyebaran benih.
"Belalang jarum merupakan antara penemuan yang dijumpai baru-baru ini di sini, biasanya ditemui di badan air Kelas I," kata Mohd Nazre yang mengetuai ekspedisi itu.
Antara kelawar yang dijumpai dalam bilangan cukup besar di Gunung Nuang.
Di Malaysia, air dibahagikan kepada Kelas I (tiada rawatan perlu), Kelas II (rawatan konvensional diperlukan), Kelas III (rawatan meluas diperlukan) dan Kelas IV (kualiti buruk dan hanya sesuai untuk pengairan).
Ekosistem yang berkembang maju
Disebabkan kehadiran pokok kayu keras tropika yang besar, Gunung Nuang diklasifikasikan sebagai hutan dipterokarpa pergunungan.
Menampilkan kawasan pergunungan berketinggian antara 1,000 meter (m) dan 2,500m di atas paras laut, jenis hutan ini sering ditemui di Asia Tenggara.
Mohd Nazre, bagaimanapun berkata, terdapat bilangan tumbuhan dipterokap muda yang ketara rendah seperti spesies keruing dan meranti.
Beliau percaya perkembangan itu kerana populasi buluh yang bertambah.
“Walaupun tidak dianggap sebagai spesies invasif, buluh diketahui tumbuh sangat cepat dan boleh mencapai sehingga 0.5m dalam sehari.
"Tidak jelas sama ada ini menyebabkan kejatuhan tumbuhan dipterokap, jadi lebih banyak kajian perlu dijalankan untuk menjelaskan fenomena itu," katanya.
Mohd Nazre berkata, data yang dikumpul akan dikaji sebelum dapatan dimuktamadkan dan didokumenkan.
“Maklumat itu akan dikumpul dan diterbitkan Jabatan Perhutanan Selangor (JPNS) dan seminar juga akan diadakan untuk membentangkan hasil kajian,” katanya.
Penemuan saintifik akan dimasukkan ke dalam rancangan pembangunan di Gunung Nuang untuk memastikan kemapanannya.
Memelihara warisan
Gunung Nuang berada di kawasan yang melintasi sempadan dengan Pahang dan Negeri Sembilan.
Ia terletak di dalam Hutan Simpan Hulu Langat, yang diwartakan pada 21 Januari 1927.
Rizab itu adalah sebahagian daripada Hutan Warisan Diraja Selangor dengan landskap seluas 108,000 hektar yang merangkumi 26 hutan simpan di negeri terbabit.
Halia Sarang Lebah juga dikenali sebagai Tepus Tanah adalah antara spesies tumbuhan yang banyak ditemui semasa ekspedisi tersebut. — Foto ihsan JPNS
Hutan itu dahulunya dikenali sebagai Taman Negeri Selangor, tetapi telah dijenamakan semula berikutan titah Raja Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pada 8 Januari lalu, StarMetro melaporkan bahawa pelan induk turut digubal untuk memastikan keseimbangan antara keperluan sosioekonomi dan perlindungan alam sekitar.
Ia turut menggariskan rancangan untuk antaranya membina denai kembara di Gunung Nuang, kawasan rekreasi di Sungai Pertak dan tempat untuk aktiviti luar di Kemensah.
Negeri ini menempatkan 79 hutan simpan, seluas 251,000 hektar, kira-kira satu pertiga daripada kawasan tanahnya.
Gunung Nuang mempunyai salah satu puncak tertinggi di Selangor, dengan ketinggian 1,493m dari paras laut.
Mereka yang ingin mendaki perlu memohon permit daripada pejabat perhutanan daerah Selangor tengah.
Pada masa ini, pihak berkuasa menetapkan had 150 orang sehari untuk jumlah pendaki.
Mereka yang ditangkap masuk tanpa permit boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984, membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
Pejalan kaki juga dikehendaki mengupah jurupandu gunung.
Tarikan ekopelancongan
Pengarah JPNS, Azhar Ahmad berkata, kawasan itu akan dijadikan tempat ekopelancongan kerana ia popular dalam kalangan pejalan kaki dan penggemar perkhemahan.
“Selain gunung ini, tempat lain yang dikhaskan untuk ekopelancongan ialah Sungai Chiling (Kuala Kubu Baru), Sungai Kedondong (Batang Kali) dan Sungai Tua (Selayang).
Azhar berkata, walaupun jabatannya mempunyai data sedia ada mengenai Gunung Nuang, ia tidak menyeluruh.
Beliau berharap penglibatan universiti tempatan dapat meningkatkan kepakaran dan perkongsian ilmu.
“Kami memerlukan pangkalan data terkini yang memperincikan komposisi biodiversiti sebelum tindakan sewajarnya boleh diambil.
"Kami juga sedang mencari kawasan di sini yang boleh ditetapkan dengan status nilai pemuliharaan tinggi (HCV).
"Kawasan ini akan dipantau dan diselenggara secara berkala bagi memelihara biodiversiti mereka," katanya.
Gunung Nuang menjadi tempat yang popular untuk berkhemah dan dalam kalangan pencinta alam semula jadi.
HCV menandakan spesies atau tapak yang mempunyai kepentingan kritikal sebagai pengiktirafan nilai alam sekitar mereka.
Pada masa ini, empat tapak di hutan simpan Selangor mempunyai status HCV — dua di Kanching (Rawang) dan masing-masing satu di Semangkok (Kuala Kubu Bharu) dan Selatan Kuala Langat.
Azhar berkata, tiada ekspedisi penerokaan masa depan ke kawasan lain sedang dirancang buat masa ini.
“Program sebegini perlu dipertimbangkan dengan teliti kerana ia memerlukan tenaga kerja dan memakan masa,” tambahnya.
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), dalam laman webnya, menyatakan sebanyak 44 ekspedisi dijalankan di hutan simpan selama beberapa dekad.
Mereka melibatkan pakar daripada pelbagai disiplin untuk mengkaji ekosistem, biodiversiti, ekopelancongan, geologi, arkeologi dan faktor sosioekonomi.
"Fokus diberikan kepada aspek pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan holistik sumber semula jadi yang terdapat di dalam hutan ini," katanya. — The Star/ FARID WAHAB
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram