Meta lancar Instagram Akaun Remaja dengan ciri perlindungan, kawalan kandungan


  • Benua
  • Rabu, 18 Sep 2024

Pelancaran 'Akaun Remaja' itu diumumkan dalam satu kenyataan oleh syarikat induk platform media sosial tersebut, Meta Platforms pada Selasa. — Meta

INSTAGRAM melancarkan ‘Akaun Remaja’ baharu yang direka bagi meningkatkan perlindungan terhadap pengguna muda dengan pelbagai ciri keselamatan.

Perkara itu diumumkan menerusi satu kenyataan daripada syarikat induk platform media sosial tersebut, Meta Platforms pada Selasa.

Menurut laporan Agensi Anadolu, inisiatif itu bertujuan mengehadkan individu yang boleh berhubung dengan remaja, mengawal kandungan boleh akses dan memastikan penggunaan platform oleh golongan remaja lebih berkualiti dan terkawal.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

"Selain itu, ia juga direka untuk memberi ketenangan kepada ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak mereka semasa menggunakan platform tersebut.

“Kami memahami keperluan ibu bapa berasa yakin bahawa anak-anak mereka dapat berinteraksi di media sosial dengan selamat, sambil meneroka minat mereka tanpa terdedah kepada ancaman keselamatan atau kandungan tidak sesuai.

"Oleh itu, Akaun Remaja ini dilancarkan untuk menyokong dan memastikan perlindungan yang sewajarnya," ujar Meta dalam kenyataan tersebut.

Menerusi langkah tersebut, pengguna remaja juga diberi akses kepada ciri baharu yang membolehkan mereka mengawal topik yang ingin dilihat.

Screenshot 2024-09-18 150323

Menerusi 'Akaun Remaja' Instagram, pengguna juga diberi akses kepada ciri baharu yang membolehkan mereka mengawal topik yang ingin dilihat. — Meta

Bagaimanapun, remaja di bawah umur 16 tahun memerlukan kebenaran ibu bapa untuk membuat sebarang perubahan terhadap tetapan keselamatan yang disediakan.

Dalam usaha melindungi remaja, Instagram akan meletakkan mereka dalam tetapan mesej paling ketat, di mana hanya individu yang mereka ikuti atau sudah terhubung boleh menghantar mesej.

Selain itu, kandungan yang sensitif seperti video perbalahan atau promosi produk kosmetik juga akan disekat daripada muncul di bahagian Explore dan Reels.

“Ciri anti-buli ‘Hidden Words’ kami juga akan diaktifkan secara automatik dalam versi paling ketat, yang akan menapis komen dan mesej yang mengandungi kata-kata kesat dan frasa yang menyinggung,” tambah kenyataan itu.

Langkah keselamatan baharu ini termasuk peringatan had masa, di mana remaja akan diberitahu untuk berhenti menggunakan aplikasi selepas 60 minit penggunaan harian.

Di samping itu, Mod Tidur akan diaktifkan secara automatik antara 10 malam hingga 7 pagi, memastikan semua pemberitahuan dan menghantar balasan automatik kepada mesej yang diterima pada waktu tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram