Penunggang dari Ipoh maut di Marang, rakan RXZ mohon bantuan cari Hilux coklat tanpa nombor plat 


  • 112
  • Ahad, 15 Sep 2024

Abdul Salim (dua dari kiri) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah. — Facebook/ Eddie Janggut

SEORANG penunggang motosikal maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer (KM) 23 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Kampung Kelulut, Marang, Terengganu, pada Sabtu malam.

Mangsa, Abdul Salim Mohamed Hashim, 58, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ts Mohd Razman Setapa berkata, insiden kira-kira pukul 8 malam itu melibatkan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR, dua kereta jenis Perodua Myvi, sebuah Proton Saga dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Semoga ALLAH berkati dunia akhirat', peserta Acara RXZ Members 6.0 Terengganu berkumpul imarahkan masjid dan surau

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kurang satu undi', ramai persenda kematian rider RXZ Member, lupa bab ajal ketentuan ALLAH

WhatsApp Image 2024-09-15 at 10.49.56

Perlanggaran itu menyebabkan seorang daripada penunggang motosikal terkorban. — Facebook

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux yang parkir di sebuah kedai makan berundur untuk keluar.

"Pada masa sama, sebuah Proton Saga yang datang dari arah Dungun menghala ke Kuala Terengganu dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang Toyota Hilux itu.

"Akibat rempuhan itu, Proton Saga berkenaan terbabas memasuki laluan bertentangan dan melanggar dua motosikal Yamaha Y15ZR serta dua Perodua Myvi yang datang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Razman berkata, perlanggaran itu menyebabkan seorang daripada penunggang motosikal terkorban dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Seorang lagi penunggang motosikal berusia 40 tahun dan wanita berumur 22 tahun yang memandu salah sebuah Myvi cedera sebelum dihantar ke hospital sama bagi menerima rawatan.

Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Syafiq Amsyar Zaharuddin, melalui talian 09-6182222 untuk membantu siasatan," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-09-15 at 10.52.22

Tangkap layar memaparkan hantaran di Facebook jual beli rxz mengenai kemalangan maut itu.

Sementara itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook jual beli rxz, difahamkan mangsa bersama ahli RXZ lain dalam perjalanan dari Batu Gajah, Ipoh, Perak untuk menyertai Program Himpunan RXZ Members 6.0 di Terengganu.

Susulan kemalangan itu, rakan-rakan mangsa turut memohon bantuan orang ramai untuk mengesan kenderaan Toyota Hilux berwarna coklat yang dipercayai bergegas lari dari lokasi kejadian, selepas perlanggaran berlaku.

"Minta tolong siapa ada jumpa Hilux coklat tiada nombor plat, dia langgar jiran homestay (inap desa) sebelum stesen minyak Kelulut.

"Sudahlah langgar, kau (boleh) lari pula tu, siap geng ride dia kutip nombor plat bawa lari, siapa yang ada rakaman dashcam (kamera papan pemuka) semasa kejadian tolong tularkan atau buat laporan polis," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram