Bekas pelumba motor negara maut akibat pergaduhan di Kangar — Polis


  • 112
  • Khamis, 12 Sep 2024

Berita pemergian Elly Idzlianizar (tengah) dimaklumkan oleh adiknya pada Rabu.

BEKAS pelumba negara yang pernah mencipta nama peringkat antarabangsa, Elly Idzlianizar Elias maut dipercayai akibat ditetak dengan pedang samurai di Kangar, Perlis pada Rabu.

Polis mengesahkan kematian bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara disebabkan kecederaan parah akibat ditetak selepas pergaduhan di Kangar sehari sebelum itu.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 9 hingga 10 malam, Selasa lalu, apabila mangsa dipercayai pergi ke rumah lelaki berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya, Kangar.

"Berdasarkan maklumat yang kita terima berlaku pergaduhan membabitkan empat individu termasuk mangsa di laluan masuk persimpangan jalan Taman Behor Gonchar Jaya pada pukul 11.13 malam.

BACA LAGI: Hilangnya permata dunia permotoran, bekas pelumba negara meninggal dunia

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

"Apabila anggota polis sampai di tempat kejadian, didapati mangsa dan tiga lagi individu yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah pun dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan," katanya.

"Mangsa (Elly Idzlianizar) bagaimanapun meninggal dunia sekitar 12.30 tengah malam semalam akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan tangan dipercayai kerana ditetak menggunakan senjata tajam," katanya pada Khamis.

Jelas beliau lagi, susulan daripada kejadian itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kangar dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis menahan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 51 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu di beberapa lokasi di Kangar.

"Semasa penahanan dibuat juga, kita turut merampas telefon bimbit, perakam video digital dan sebilah pedang samurai berukuran 112 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

"Siasatan lanjut yang dibuat mendapati mangsa meninggal dunia kerana mengalami sekitar 10 hingga 12 kesan tetakan pada badan di mana satu kesan tetakan di bahagian tangan kanan, tiga di bahagian tangan kiri dan tujuh hingga lapan kesan tetakan di belakang badan mangsa.

"Malah, keputusan bedah siasat yang dibuat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar juga mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan yang teruk," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian bermula apabila mangsa yang berada dalam keadaan marah cuba mencari suspek utama berusia 51 tahun di kediamannya di taman perumahan itu.

"Mangsa tiba ke rumah suspek dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna biru, namun suspek tiada di rumah dan hanya anak dan isterinya sahaja yang ada.

"Mangsa beredar namun terserempak dengan suspek di laluan masuk persimpangan jalan taman perumahan itu dan tercetuslah pergaduhan dan pergelutan yang disertai dua lagi lelaki termasuk anak suspek pertama yang berusia 31 tahun.

"Kita difahamkan mangsa dan suspek saling mengenali dan sering berurusan antara mereka mengenai perkara yang tidaklah sehingga membawa kepada pergaduhan seperti semalam (Selasa) namun setakat ini, motif dan penyebab berlakunya pergaduhan masih disiasat," katanya.

Yusharifuddin berkata, pihaknya turut menyiasat sekiranya wujud unsur kongsi gelap dan gangster dalam pergaduhan itu kerana suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

"Daripada saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati hanya suspek utama positif dadah manakala semakan kita mendapati suspek utama mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan cubaan membunuh dan dadah.

"Suspek kedua berusia 28 tahun dan bekerja sebagai buruh di Arau pula mempunyai 12 rekod jenayah membabitkan pelbagai jenayah dan dadah manakala suspek ketiga yang berusia 31 tahun yang juga anak kepada suspek pula mempunyai lima rekod lampau membabitkan pelbagai jenayah dan dadah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram