INDUSTRI pembinaan kini bukan sahaja memerlukan tenaga manusia, malah kecanggihan teknologi amat membantu demi kemajuan pembangunan Malaysia.
Melihat kepada peningkatan keperluan dalam industri itu, bermacam-macam pembaharuan kreatif dan berinovasi dilakukan oleh beberapa pihak.
Antaranya adalah dengan mencipta topi keledar keselamatan atau integrated smart helmet khusus buat pekerja dalam bidang binaan.
BACA LAGI: Kecil-kecil dah berani tunjuk bakat atas pentas, 2 anak Orang Asli harumkan nama Sabah dan Johor
Frank Tan
Pengasas bersama The ISO Group, Frank Tan, 70, mendedahkan bahawa topi keledar canggih dihasilkan itu merupakan edisi pertama yang lancarkan di negara ini.
The ISO Group merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan latihan operasi keselamatan kepada agensi, kumpulan atau individu terlibat dalam sektor berkenaan.
Selaku tenaga pengajar utama, Frank berkata, The ISO Group satu-satunya syarikat yang menyediakan perkhidmatan tersebut secara meluas di seluruh Malaysia.
Tujuh ciri keselamatan yang ada pada topi keledar tersebut.
Ciri keselamatan topi keledar canggih
Katanya, kursus disediakan itu bertujuan untuk menerapkan sistem keselamatan dalam kalangan pekerja binaan di tempat kerja.
"Topi keledar canggih ini dicipta khas dengan tujuh ciri keselamatan tambahan untuk kegunaan para kontraktor berkomunikasi dari jarak jauh.
"Topi ini juga dilengkapi dengan sistem rangkaian internet 4G, fungsi cahaya untuk waktu malam, pancaran laser dan banyak lagi.
"Contohnya, topi ini boleh menghubungkan komunikasi dua hala seperti dari Bintulu, Sabah ke Shah Alam, Selangor," katanya kepada Majoriti.
Mengambil pendekatan mengurangkan risiko kemalangan ketika bekerja, pancaran laser di topi keledar tersebut turut berfungsi untuk memberi fokus kepada pemandu jentera pengangkut ketika mengangkat barang.
Antara kemalangan yang kerap berlaku adalah seperti pekerja dihempap konkrit, jentera hilang kawalan dan banyak lagi.
Teknologi canggih yang disertakan bertujuan membuatkan penggunanya lebih fokus ketika bekerja.
Ia juga mampu membantu mengelakkan muncung besi pada jentera (forklift) melanggar individu, kenderaan atau barangan lain di kawasan sekitar.
Frank pada masa sama menjelaskan, ia juga boleh digunakan dalam sektor pembinaan, logistik, penghantaran atau mana-mana syarikat berkenaan.
“Teknologi ini masih belum ada dipasarkan secara meluas selain kami.
“Tetapi, teknologi topi canggih ini kami belum jual lagi dan hanya menyewakan atau pinjamkan mengikut terma dan syarat disediakan kepada syarikat-syarikat berminat.
“Ini juga antara medium yang kami gunakan selari dengan trend zaman sekarang lebih-lebih lagi untuk generasi Z,” katanya.
Tambahnya, generasi sekarang lebih cenderung untuk lebih memahami sesuatu proses secara digital.
Ia tidak dapat dinafikan lagi apabila melihat keupayaan golongan buruh yang pernah menggunakan alat tersebut.
Menurut Frank, ramai di antara mereka lebih mudah memahami arahan sekali gus melancarkan proses pekerjaan dalam industri tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram