Ikut jadual, TUDM terima jet FA-50M pada 2026


  • Primer
  • Jumaat, 13 Sep 2024

Proses pembinaan jet pejuang ringan FA-50M sedang mengikut jadual.

PROSES menyiapkan jet pejuang ringan baharu yang ditempah daripada Korea Selatan sedang mengikut jadual.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, proses pembinaan 18 jet pejuang ringan jenis FA-50M sudah memasuki 39 peratus penyiapannya.

Khaled berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menerima kumpulan pertama jet tersebut pada 2026.

BACA LAGI: Tiada negara boleh tekan kita — PM Anwar

BACA LAGI: Isu agama termasuk sijil halal di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja — Ahmad Zahid

"Kita perlu meningkatkan (bilangan) aset udara kerana ruang udara kita besar dan memerlukan tentera udara yang efektif dalam menjalankan tugasnya.

"Kami membeli FA-50M tahun lepas dan saya melawat kilang pembuatan di Korea Selatan untuk melihat kemajuan pembinaan FA-50M dan untuk melihat kelebihan yang ditawarkan oleh pesawat itu," kata Khaled.

Jet pejuang ringan itu dibina oleh Korea Aerospace Industries (KAI) dan syarikat Hanwha Aerospace.

Dalam masa yang sama, KAI dan syarikat tempatan, Ikramatic Systems Sdn Bhd melakukan Program Kolaborasi Industri (ICP) untuk membangunkan simulator untuk membiasakan juruterbang FA-50M dengan jet tersebut sementara menunggu ia siap.

Simulator tersebut akan dibangunkan dalam dua jenis simulasi iaitu Full Mission Simulator dan Operational Flight Trainer.

"Satu daripada ICP yang dilakukan ialah pembangunan bersama sistem simulator dengan syarikat tempatan iaitu seperti berkongsi pengetahuan dan kepakaran untuk memajukan industri tempatan.

"Kami, syarikat Ikramatic telah dipilih untuk menjadi penerima ICP oleh KAI atas pengalaman 26 tahun membina simulator kapal terbang buatan tempatan," kata Pengarah Eksekutif Ikramatic, Syed Mohamad Ikram. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram