Kerajaan teliti semula Kanun Keseksaan, ambil tindakan tegas terhadap pembuli siber


  • Primer
  • Isnin, 02 Sep 2024

Kerajaan sedia baiki undang-undang berkaitan buli siber di Malaysia.

KERAJAAN bersedia untuk meneliti semula undang-undang sedia ada untuk membasmi jenayah buli siber yang meningkat dengan mendadak.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengatakan kerajaan sudah mewujudkan petugas khas (task force) untuk menggubal semula undang-undang berkaitan buli siber.

Pembentukan tugas khas itu terdiri daripada pakar melibatkan empat kementerian iaitu Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan Kementerian Dalam Negeri.

BACA LAGI: Kes buli siber naik mendadak dalam kalangan remaja termasuk gangguan seksual — Noraini Ahmad

BACA LAGI: Kerajaan disaran tubuh agensi nasional berpusat AI, laksana dan selaras strategi tadbir urus teknologi

"Bersama-sama, kami menjalankan semakan menyeluruh terhadap Kanun Keseksaan untuk mengukuhkan rangka kerja undang-undang kami dan meningkatkan keupayaan kami untuk memerangi buli siber dengan berkesan.

"Tambahan lagi, kami memperkenalkan rangka kerja pelesenan untuk media sosial dan perkhidmatan pemesejan Internet untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih dipercayai dan selamat untuk semua orang," kata Nie Ching.

Menurut Nie Ching lagi, penelitian semula itu adalah untuk membantu bukan saja individu tetapi bagi wanita yang ingin menceburkan diri dalam karier melibatkan ICT tanpa sebarang kerisauan menjadi mangsa buli siber.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad, setakat Julai 2024, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 6,598 laporan kes berkenaan buli siber.

Jumlah tersebut jauh lebih tinggi berbanding pada 2021 apabila SKMM cuma menerima 326 kes pada waktu tersebut.

Noraini berkata, kesan daripada buli siber adalah lebih teruk berbanding buli fizikal kerana ia boleh meninggalkan kesan kepada mental si mangsa.

Malah, buli tersebut boleh berlaku dengan kerap kerana ia lebih mudah dilakukan di hujung jari.

"Pihak SKMM menerima banyak aduan mengenai buli siber yang termasuk dengan gangguan seksual. Ia boleh dilakukan berulang kali kerana ia hanya perlu menaip menggunakan jari.

"Penggunaan bahan rakaman atau gambar juga boleh menyebabkan tekanan kepada mangsa kerana kandungannya akan terus tersebar dan dikongsi secara dalam talian," kata Noraini pada Isnin. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram