HATI mana yang tidak panas apabila kereta kesayangan yang diparkir di kawasan yang selamat tiba-tiba dirosakkan oleh individu yang tidak dikenali.
Apatah lagi punca perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab itu masih menjadi misteri.
Dalam satu kejadian pada Ahad lalu, seorang pemilik kereta elektrik (EV), Tesla dikenali sebagai Ty Tai hanya mampu terkedu selepas melihat rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaanya berjaya merakam seorang lelaki tidak dikenali membuat vandalisme terhadap keretanya.
BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri
BACA LAGI: Francis Chai 'Crocodile Hunter' tanpa senapang, sentiasa hormati 'Bujang Senang'
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook Ty Tai memaparkan tiga individu dipercayai sebuah keluarga melalui hadapan keretanya yang diparkir dekat sebuah pusat beli-belah di Bangsar, Kuala Lumpur.
Namun, secara tiba-tiba anak lelaki keluarga tersebut secara tiba-tiba menendang Tesla itu dan berlalu pergi dari situ.
Ibu bapanya pula dilihat tidak menghiraukan aksi berkenaan seolah-olah tiada apa yang telah berlaku.
Dalam satu lagi hantaran, Ty Tai turut berkongsi rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan parkir tersebut yang menunjukkan kelakuan lelaki itu dengan lebih jelas.
Kenapa pulak dia tendang Tesla ni pic.twitter.com/8KMXAavd5O
— Shahrol (@shahrolhalmi) September 8, 2024
Lelaki yang memakai penyepit rambut itu dilihat menendang bahagian lampu hadapan Tesla terbabit. Perbuatan tidak bertanggungjawab itu tidak terhenti di situ sahaja.
Lelaki berkenaan kemudian berpatah balik ke lokasi kejadian dan meludah pada bahagian cermin belakang Tesla.
Dakwa Ty Tai, dia sudah melaporkan insiden itu kepada pihak polis pada hari yang sama tetapi disebabkan tiada kerosakan fizikal dilihat pada keretanya maka fail siasatan kes tidak akan dibuka.
Video berkenaan turut dikongsikan semula oleh orang awam sehingga menjadi tular.
Rata-rata warga maya yang melihat video berkenaan turut mengecam pasangan tersebut kerana tidak menegur perbuatan anak mereka.
Setakat berita ini ditulis masih belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Punca sebenar kejadian juga difahamkan masih disiasat.
Pada masa sama, pemilik kenderaan Tesla tersebut juga telah memadamkan hantaran yang dimuat naik di Facebook peribadinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram