Umrah Srikandi sedia perkhidmatan khusus buat wanita tunai ibadah di tanah suci


  • Bizz
  • Selasa, 10 Sep 2024

Siti Fairuz (tengah) bergambar bersama dua mutawifah terlatih di bawah syarikatnya yang bersedia untuk menjadi jurupandu kepada jemaah umrah di bawah pakej Umrah Srikandi.

SYARIKAT penyedia perkhidmatan umrah tempatan, FO Rizq Ticketing & Travel Sdn Bhd melancarkan pakej umrah khas untuk jemaah wanita sebagai sebahagian daripada usaha mereka memenuhi keperluan khusus golongan tersebut ketika menunaikan ibadah tersebut di tanah suci.

Pengarah Urusannya, Siti Fairuz Omar berkata, menerusi pakej tersebut yang dikenali sebagai Umrah Srikandi, syarikatnya kini turut mempunyai seramai 17 orang mutawifah terlatih yang berusia antara 21 hingga 60 tahun.

Tidak sekadar hanya membawa jemaah ke masjid dan beberapa lokasi bersejarah, menerusi program tersebut, beliau berkata, peserta akan turut diberikan pengisian lebih menyeluruh khususnya yang berkaitan dengan kaum Hawa.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

"Kita wujudkan Umrah Srikandi kerana kita nak lebih ramai kaum wanita pergi umrah bersama dengan mutawif wanita. Mutawifah ini sebenarnya dia bukan sahaja bawa pergi umrah dan ziarah masjid, kita juga nak ada pengisian daripada A sampai Z.

"Kemudian sekarang ini, bila buat umrah, kita selalu dengar ada wanita yang berdepan banyak masalah. Tapi, mereka segan nak rujuk dengan ustaz dan sebagainya. Kemudian ada juga kadang-kadang ketua rombongan yang dia tak boleh nak bagi pencerahan dan butiran lanjut.

"Jadi dengan mutawifah di bawah pakej Umrah Srikandi ini, kita memang latih mereka secara khusus," katanya ketika ditemui Majoriti.

Menurutnya, dalam usaha bagi menambah baik perkhidmatan disediakan di bawah pakej Umrah Srikandi, jemaah akan turut dibawa melakukan ziarah di tempat istimewa sambil disokong dengan pengisian daripada mutawifah dilantik.

458399248_1587889828709838_1310520384370481564_n

FO Rizq Ticketing & Travel turut menyertai MATTA Fair 2024 yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur baru-baru ini. — Facebook/FO Rizq Ticketing & Travel

Tambah Siti Fairuz, beliau juga mahu ziarah tersebut menjadi platform meningkatkan dakwah khususnya terhadap kaum wanita.

"Ini adalah medan dakwah kita untuk menyampaikan ilmu kepada kaum wanita. Itu yang nombor satu. Keuntungan itu soal kedua," ujarnya ketika ditemui semasa Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, baru-baru ini

Dalam pada itu, Siti Fairuz berkata, dengan harga serendah RM7,790, Umrah Srikandi menyasarkan kepada semua latar belakang jemaah tidak kira sama ada daripada mereka yang berpendapatan T20 ataupun M40.

Mengulas mengenai sambutan terhadap pakej tersebut, beliau berkata, pihaknya sudah menerima pendaftaran seramai 50 individu sejak ia dilancarkan pada awal September lalu dengan rombongan pertama dijangka berangkat ke tanah suci pada November depan.

"Tahun ini kita sasarkan lebih kurang 1,000 jemaah wanita. Kalau tidak dapat pun, sekurang-kurangnya separuh daripada itu pun tidak mengapa untuk permulaan," ujarnya.

Bermula dengan modal RM10,000, Barakah Umrah kini bersedia urus lebih 24,000 jemaah

453411463_1559418211557000_45152653322329275_n

Sejak ditubuhkan pada 2017, FO Rizq Ticketing & Travel Sdn Bhd sudah membawa hampir 8,500 jemaah bagi menunaikan umrah di tanah suci. — Facebook/FO Rizq Ticketing & Travel

Siti Fairuz berkata, sejak diasaskan pada 2017, FO Rizq Ticketing & Travel Sdn Bhd yang kini turut menjenamakan perkhidmatan umrahnya kepada Barakah Umrah pada tahun lalu sudah membawa hampir 8,500 jemaah umrah dari Malaysia.

Berkongsi kepada Majoriti, Siti Fairuz berkata, beliau yang merupakan graduan dalam bidang pelancongan membuat keputusan untuk menubuhkan syarikat terbabit selepas bekerja dengan beberapa syarikat pelancongan besar sejak umurnya berusia 21 tahun.

Dengan pengalaman kira-kira 15 tahun dan bermodalkan RM10,000, beliau mencabar diri memulakan FO Rizq Ticketing & Travel Sdn Bhd yang pada awalnya menyediakan perkhidmatan pembelian tiket dan mengambil komisen daripada penjualan pakej umrah syarikat lain.

"Saya buka syarikat ini bermula dengan ambil komisen umrah daripada pakej syarikat lain. Masa itu kita duduk bawah orang sebab nak belajar," ujarnya.

Siti Fairuz berkata, untuk menguasai dengan lebih lanjut operasi penyediaan perkhidmatan umrah, beliau juga beberapa berkunjung ke tanah suci untuk memahami dengan lanjut situasi di lapangan.

"Kemudian untuk belajar nak buat umrah, saya juga pergi umrah dengan ejen pelancongan dua tiga kali untuk belajar pengurusan di sana.

"Jadi kita cuba berkembang sedikit demi sedikit sampailah hari ini," ujarnya.

449833657_1538868956945259_1999428980717944288_n

Siti Fairuz (dua dari kiri) ketika hadir di majlis menandatangani perjanjian persefahaman bersama Persatuan Veteran ATM pada Julai lalu. — Facebook/FO Rizq Ticketing & Travel

Dalam pada itu, Siti Fairuz berkata, pada November tahun lalu, FO Rizq Ticketing & Travel Sdn Bhd secara rasmi dilantik menjadi panel umrah dengan Koperasi Pekebun Kecil Negeri Sembilan (KPKNS) untuk membawa 7,000 ahli mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikatnya kini juga sudah menandatangani perjanjian persefahaman pada Julai lalu untuk menjadi panel umrah kepada Persatuan Veteran ATM Negeri Sembilan yang mempunyai 17,000 ahli.

"Jadi Alhamdulillah kini terdapat Lebih kurang 24,000 ahli daripada dua persatuan tersebut yang bersedia untuk kami uruskan sebagai panel umrah," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram