Ibu tunggal, teman lelaki kena penjara 2 tahun dera budak 5 tahun


  • 112
  • Rabu, 11 Sep 2024

Seorang ibu tunggal (kiri) dan teman lelakinya diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor, Selangor.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Selangor, Selangor menjatuhkan hukuman penjara dua tahun pada seorang ibu tunggal dan teman lelakinya atas tuduhan mendera anak perempuan berusia lima tahun.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza terhadap wanita berusia 32 tahun dan lelaki berusia 26 tahun terbabit selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mendera gadis tersebut.

Dia memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara itu dari tarikh mereka ditangkap, iaitu pada 4 September lalu.

BACA LAGI: Cuma berseluar dalam, lelaki tak dikenali ditemukan mati dalam longkang di Shah Alam

BACA LAGI: Bomba kesan 'backlog’ 15 meter di lokasi tanah jerlus Masjid India, usaha rungkai 'sekatan'

Hakim juga memerintahkan pasangan itu dikenakan ikatan berkelakuan baik selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Mereka didakwa bersama sebagai penjaga kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu kerana menderanya secara fizikal dengan menyiram air panas ke atasnya, memukul, memijak dan mencubitnya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Desiran Malawati, Kuala Selangor, antara 13 Ogos dan 4 September tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar.

Sementara itu semasa mitigasi, pasangan itu kedua-duanya tidak diwakili peguam, memberitahu mahkamah bahawa mereka menyara adik-adik mereka. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram