Pencemaran bau: Proses pembersihan sisa kimia di Johor ambil masa lebih seminggu — Exco JAS


  • Primer
  • Rabu, 11 Sep 2024

Proses pembersihan sisa kimia di beberapa lokasi sekitar Johor akan mengambil masa lebih seminggu untuk siap sepenuhnya. —  The Star

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor menjelaskan, proses pembersihan sisa kimia yang dibuang secara haram di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Kawasan Perindustrian Desa Tropika, Johor Bahru, Johor akan mengambil masa lebih seminggu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa itu akan siap sepenuhnya pada 22 September.

"Seorang kontraktor telah dilantik untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di dua lokasi yang dikenal pasti sebagai punca pencemaran.

"Selama ini, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak panik. Elakkan masuk atau berada di kawasan itu semasa kerja-kerja sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] Terhidu gas sisa kimia antara 4 kes ancam nyawa pelajar sekolah di Malaysia

BACA LAGI: JAS bongkar sebab air bertukar biru di Sungai Aur, Klang

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor itu berkata, mereka yang mengalami ketidakselesaan atau simptom seperti pening, loya, muntah, kesukaran bernafas dan sakit dada akibat terhidu asap perlu mendapatkan rawatan perubatan segera.

Tambahnya, mereka yang berada dalam kategori berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan pesakit kronik juga perlu mengelak daripada melakukan aktiviti luar di kawasan tersebut.

photo_2024-09-11_10-42-29

JAS Negeri Johor mula melakukan pembersihan di beberapa kawasan terjejas dengan pembuangan sisa kimia. — The Star

"Apabila disyaki terdedah kepada sisa kimia, segera mandi dan asingkan pakaian anda di dalam dobi untuk mengelakkan terkena kulit. Semua aktiviti di sepanjang Sungai Tebrau dan Sungai Plentong harus dielakkan sehingga diberitahu kelak," tambahnya.

Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Jabatan Alam Sekitar Johor di talian 1-800-88-2727 atau Bilik Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Baru di talian 07-220 0604.

Terdahulu, pencemaran bau dilaporkan berlaku di beberapa lokasi sekitar Johor sejak 3 September lalu, termasuk Kampung Melayu Pandan, Taman Daya, Taman Istimewa, Taman Mount Austin dan Kawasan Perindustrian Desa Tropika.

Kawasan lain yang terjejas ialah Kampung Maju Jaya, Kampung Tawakal, Kampung Plentong Baru dan Kampung Orang Asli Pasir Intan.

Pada Selasa, seorang pemandu lori dan pembantunya berusia 23 dan 28 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pencemaran bau yang turut menyebabkan penutupan tiga sekolah dan 27 pelajar jatuh sakit.

Kedua-dua suspek kini direman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, yang menangani kesalahan berkaitan kemerosotan bekalan air atau makanan kepada rakyat.

SK Kampung Maju dan sekolah swasta Sekolah Rendah Islam Hidayah serta Sekolah Menengah Islam Hidayah ditutup buat sementara waktu dan proses pembelajaran dilakukan secara pengajaran dan pembelajaran berasaskan rumah (PdPR).

Di Kota Tinggi, Johor, seramai 38 penduduk Kampung Orang Asli Pasir Intan terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas asap toksik menyebabkan mereka mengalami sakit tekak, loya, pening, sakit mata, muntah dan sesak nafas.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut melawat kawasan tercemar itu pada Isnin di mana beliau mengarahkan polis dan agensi berkaitan membentuk pasukan petugas dan mencari pihak yang bertanggungjawab mencemarkan sungai tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram