Tak pernah serik, polis Johor tahan sekali lagi pemandu, kelindan lori terlibat kes pencemaran bau kimia


  • 112
  • Selasa, 10 Sep 2024

Beberapa kawasan di bandar raya Johor Bahru pada minggu lalu berdepan pencemaran bau kimia hingga menyebabkan penduduk mengalami pening dan loya.

DUA lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian pencemaran bau dipercayai bahan kimia yang menjejaskan daerah Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek yang merupakan seorang pemandu lori dan kelindan masing-masing berusia 23 dan 28 tahun ditahan di sebuah pangsapuri di daerah berkenaan pukul 11 malam Isnin.

“Semakan rekod lampau mendapati kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka bebas pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: 'Rasa macam adiwira', jurukimpal tubuh Pasukan Bomba Sukarela jamin keselamatan penduduk Rawang

BACA LAGI: Bomba kesan 'backlog’ 15 meter di lokasi tanah jerlus Masjid India, usaha rungkai 'sekatan'

Raub berkata, kedua-dua suspek ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan selama tujuh hari bermula Selasa sehingga 16 September.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Raub dalam pada itu turut memaklumkan, kedua-dua suspek pernah ditahan sebelum ini kerana membuang bahan kimia di Sungai Linggiu berhampiran Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi pada 4 September lalu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa kawasan di bandar raya Johor Bahru pada minggu lalu berdepan pencemaran bau kimia hingga menyebabkan penduduk mengalami pening dan loya.

Pencemaran tersebut dilaporkan berlaku di Kampung Melayu Pandan dan tiga taman perumahan di Johor Bahru iaitu Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram