AHLI Parlimen Seputeh, Teresa Kok akan dipanggil oleh Bukit Aman pada Selasa berhubung kenyataannya mengenai cadangan mewajibkan semua premis makan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol untuk mendapatkan sijil halal.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis akan merakam keterangan pemimpin itu di pejabat Unit Siasatan Khas (USJT) Bukit Aman pada pukul 10 pagi Selasa.
"Kami akan menjalankan siasatan mengikut prosedur operasi standard berkenaan isu-isu berkaitan bangsa, agama, dan institusi diraja (3R)," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Razarudin berkata, beberapa saksi lain akan dipanggil termasuk wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membantu siasatan.
Polis sebelum ini dilapor melancarkan siasatan berikutan kenyataan Teresa mengenai isu sijil halal.
Razarudin berkata, pihaknya menerima lima laporan polis berhubung perkara itu.
Polis sebelum ini dilapor melancarkan siasatan berikutan kenyataan Teresa mengenai isu sijil halal.
"Walaupun kebebasan bersuara dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, ia mempunyai hadnya.
"Kami menasihati semua rakyat Malaysia agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan awam dan mengancam keharmonian kaum.
"Semua warganegara harus menghayati semangat Rukun Negara," katanya.
Razarudin berkata, Teresa disiasat di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 1998.
Jakim sebelum ini dilaporkan sedang mempertimbang untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan premis makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.
Susulan daripada itu, Teresa menyuarakan bantahannya terhadap cadangan tersebut dan menyifatkan ia bakal membebankan perniagaan kecil dan menyekat kebebasan pengguna.
Pada 3 September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, untuk menguatkuasakan pensijilan halal mandatori, beberapa Akta dan undang-undang perlu dipinda.
Beliau menambah bahawa pelbagai agensi perlu terlibat bagi memastikan pematuhannya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram