'Kalau betul, saya akan ikut kehendak Ebit untuk lihat anggota tubuh', saksi nafi ada hubungan 'consensual' dengan tertuduh


Saksi kesembilan bagi kes Ebit Liew menafikan bahawa dia menaruh hati atau mempunyai hubungan suka sama suka (consensual) dengan Ebit Lew.

SEORANG saksi kesembilan bagi kes gangguan seksual melibatkan pendakwah, Ebit Lew, menafikan dirinya menaruh hati atau mempunyai hubungan suka sama suka (consensual) dengan tertuduh, demikian Mahkamah Majistret Litar Tenom dimaklumkan pada Selasa.

Menurut wanita berusia 40-an itu, dia akan mengikut kehendak Lew yang mahu melihat anggota tubuh badannya semasa panggilan video antara mereka jika dakwaan tersebut benar.

Saksi yang juga pengadu kes ketika pemeriksaan balas peguam Datuk Ram Singh yang mewakili Lew berkata, dia telah merakam panggilan video tersebut dan dia menolak permintaan Lew.

BACA LAGI: Dari kelas belakang ke 'selempang pink' UiTM, kreativiti pasangan kembar pikat pengguna TikTok

BACA LAGI: Bangga Malaysia tema Keretapi Sarong 2024, alu-alukan penyertaan OKU, warga emas

Ebit Irawan Ibrahim Lew berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual terhadap wanita.

Saksi berkenaan, di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani berkata, pada mulanya dia tidak berniat merakam video tersebut tetapi dia melakukannya agar video berkenaan dapat dijadikan sebagai bahan bukti bagi mendapatkan keadilan berhubung gangguan seksual Lew terhadapnya.

Ram Singh: Kenapa kami melakukan itu (merakam panggilan video) memandangkan berdasarkan bukti kamu merekod tanpa persetujuan atau pengetahuan Ebit Lew?

Saksi: Saya tidak tahu masa tu memang tergerak hati untuk rakam dan itu adalah kali pertama saya buat rakaman. Kalau tanya hari ini, bagi saya ada hikmah saya rakam (video berkenaan).

Selain itu, saksi pendakwaan ke-10, Jurufoto Polis Diraja Malaysia (PDRM) Detektif Koperal Shahrul Sanudin, 38, memberitahu bahawa dia telah mengambil sebanyak 35 keping gambar di sebuah rumah di Shah Alam pada 19 Ogos 2021 dan dua keping gambar telefon bimbit.

Dalam pemeriksaan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Analia Kamaruddin, saksi itu berkata, gambar-gambar itu antaranya termasuk gambar hadapan luar rumah, nombor rumah, bil elektrik, ruang tamu, gambar kepala katil, bantal, bilik air dan gambar bahagian hadapan serta belakang telefon bimbit.

Saksi ke-11 iaitu Jurugambar PDRM Detektif Koperal Husni Haris Ramli @ Fauzi, 34, pula memberitahu dia turut mengambil empat keping gambar bahagian depan dan belakang telefon bimbit bersama kad sim dan memori kad.

Husni Haris berkata, dia telah memindahkan gambar-gambar berkenaan ke dalam dua keping cakera padat (CD) dengan tandaan berkaitan laporan kes di Tenom.

Untuk rekod, Ebit Irawan Ibrahim Lew berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp sewaktu Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Perbicaraan disambung esok. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram