ORANG ramai meluahkan kekecewaan terhadap sikap segelintir pengunjung yang bersesak-sesak selain memotong barisan dengan memanjat struktur besi untuk mendapatkan tempat duduk bagi menyaksikan perarakan sambutan kemerdekaan ke-67 di Dataran Putrajaya pada Jumaat malam.
Dalam video dimuat naik di media sosial, kelihatan beberapa individu tidak bertanggungjawab berbuat sedemikian sehingga membuatkan keadaan sesak apabila orang ramai mula berpusu-pusu membanjiri kawasan itu.
Malah, kedengaran juga pengunjung yang tersekat dalam kesesakan itu menjerit supaya tidak menolak-nolak antara satu sama lain yang menyebabkan pengguna media sosial mempersoalkan apakah erti kemerdekaan bagi mereka.
BACA LAGI: [VIDEO] Glamping malam merdeka di Taman Pancarona, pasti tak 'miss' perarakan di Dataran Putrajaya
BACA LAGI: Identiti tarian, perarakan perbarisan perlu dikembangkan ke luar negara — Wartawan veteran
"Inikah yang dimaksudkan dengan Malaysia Madani berjiwa merdeka tu? Perangai masing-masing tak berubah lagi, macam mana lah nak maju ke hadapan? Nak tengok perbarisan kemerdekaan, tetapi disiplin 'ke laut', memalukan betul," kata Shahrul Ewan.
"Kenapa macam ini? Jagalah adab wahai rakyat Malaysia. Kalau tak boleh sabar, duduk sahaja di rumah masing-masing. Buat malu sahaja dengan perangai," kata Chunor Peaceluve.
"Apalah, segala bahasa boleh keluar. Kan tenang dan aman sekiranya masing-masing hanya duduk di rumah. Kalau berebut untuk ke masjid, bukankah lebih bagus?" kata Bunga Tulip.
Aktiviti menyaksikan perarakan kemerdekaan sudah menjadi rutin pada setiap 31 Ogos apabila orang ramai tidak mahu terlepas peluang menyaksikan perbarisan, terutamanya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) angkara Covid-19.
Selain dapat melihat anggota badan beruniform, pengunjung turut disajikan peluang melihat aset negara seperti jentera ketenteraan dan kenderaan dimiliki Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Perarakan kemerdekaan merupakan salah satu aktiviti yang sukar dilepaskan orang ramai pada 31 Ogos setiap tahun.
Bagaimanapun, sekiranya mahu mendapatkan tempat yang selesa, orang ramai perlu hadir lebih awal supaya tidak bersesak pada awal pagi kemerdekaan selain untuk mengelak kesesakan jalan raya.
Malah, ada juga yang mengambil langkah lebih drastik apabila sanggup berada di lokasi perarakan pada malam ambang sambutan meskipun terpaksa membawa anak kecil.
Meskipun pengorbanan berkenaan membuktikan kecintaan terhadap tarikh keramat itu, sikap dan budi bahasa masing-masing perlu dijaga supaya ia selari dengan erti kemerdekaan.
Namun, melihat kepada video yang tular tersebut, orang ramai seakan-akan lupa akan perkara berkenaan kerana terlalu ghairah untuk menyaksikan perarakan yang diadakan saban tahun itu.
Jadi, sekiranya seseorang mahu menanam erti kemerdekaan sebenar dalam diri masing-masing, sikap toleransi dan bertolak ansur dalam situasi sebegitu perlu ditonjolkan.
Tidak cukup dengan itu, nilai murni lain seperti bersabar dan menjaga tutur kata perlu dipegang supaya kesesakan tersebut tidak melunturkan semangat sambutan kemerdekaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram