[VIDEO] Elak asap bakar sampah punca 2 penunggang motosikal maut bertembung di Kota Bharu


  • Tular
  • Isnin, 02 Sep 2024

Tangkap layar video memaparkan kemalangan yang berlaku di kawasan perumahan di Kota Bharu pada Ahad. — Facebook

DUA penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan kejadian berhampiran RBI Jaya Canopy, Jalan Salor–Pasir Mas, Kota Bharu, Kelantan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kemalangan itu membabitkan penunggang motosikal Yamaha Y15ZR berusia 28 tahun dan penunggang Honda Wave berumur 79 tahun.

Mohd Rosdi berkata, siasatan awal mendapati penunggang Yamaha Y15ZR dari arah Wakaf Che Yeh ke Kampung Pendek memasuki laluan bertentangan sebelum motosikal ditunggang melanggar motosikal yang ditunggang warga emas itu.

BACA LAGI: Selesai isu kesesakan rentas sempadan, Malaysia 'himpit' Singapura guna teknologi QR dan pengecaman digital

BACA LAGI: Johor rekod penduduk paling ramai aktif bersenam, program JB CFM boleh jadi ikutan negeri lain

Katanya, akibat daripada perlanggaran berkenaan, kedua-dua mangsa bernama Muhammad Syafiq Mat Dam, 28 dan Ismail Awang, 79, bersama motosikal yang ditunggangi tercampak ke atas jalan dan mereka cedera parah di kepala.

"Selain itu, kedua-dua mangsa juga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, saksi kejadian boleh hadir di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi membantu siasatan.

Tambahnya, pihak polis juga menggesa orang ramai supaya berhati-hati dalam pemanduan semasa menggunakan jalan raya dan mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas yang berkuat kuasa di Malaysia.

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan salah seorang daripada mangsa dilihat cuba mengelak asap tebal daripada pembakaran sampah yang dilakukan di tepi jalan tersebut.

Dalam pada itu, kejadian juga dipercayai berlaku ketika Ismail dalam perjalanan pulang selepas membeli roti di sebuah kedai sebelum motosikalnya bertembung dengan Syafiq dari arah bertentangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram