[VIDEO] Tak sempat keluarkan tali troli, lelaki jatuh bawah ruangan lif lepas dirempuh perabot


  • Benua
  • Isnin, 11 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan lelaki tersebut cuba menarik keluar tali yang tersangkut di dalam lif yang sedang bergerak naik ke atas.

SEORANG lelaki menerima nasib malang selepas terjerumus jatuh ke dalam ruangan lif ketika sedang memunggah barangan di sebuah bangunan.

Kejadian mengejutkan itu dirakam menerusi satu video yang tular sejak Ahad lalu menerusi perkongsian dibuat di platform X oleh akaun, INSANE CLIPS.

Berdasarkan klip tersebut, lelaki berkenaan yang memakai baju berwarna biru pada awalnya dilihat mengeluarkan barangan berat berupa beberapa lapisan papan bersaiz besar dengan menggunakan troli.

Bagaimanapun, pintu lif tersebut kemudiannya tertutup sebelum sempat mangsa mengeluarkan tali yang dilihat bersambung dengan troli sudah dikeluarkan dan diletakkan di hadapan lif.

Disebabkan itu, mangsa dilihat segera menekan butang lif di dinding luar bagi membuka kembali pintu tersebut di samping turut cuba memaksa menarik keluar tali berkenaan.

Namun, usaha berkenaan tidak berjaya selepas lif tersebut dipercayai terus bergerak naik ke atas.

Situasi tersebut menyebabkan tali berkenaan menarik sama troli yang membawa barangan berat itu dan sekali gus merempuh lelaki berkenaan yang sedang berdiri di hadapan pintu lif dari arah belakang.

Impak daripada kejadian itu menyebabkan lelaki berkenaan tercampak sehingga merempiuh pecah pintu terbabit sebelum terjerumus jatuh ke bawah ruangan lif berkenaan.

Status kecederaan mangsa bagaimanapun tidak dapat dipastikan dengan lokasi kejadian yang dipercayai berlaku di luar negara turut tidak dimaklumkan dalam ciapan tersebut.

Bagaimanapun, menerusi carian yang dibuat di internet, video berkenaan didapati mula dimuat naik di beberapa laman web sejak awal 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram