Heroin ibarat nasi, perunding teknikal sanggup 'labur' lebih RM2,000 sebulan demi dadah


  • Massa
  • Rabu, 04 Sep 2024

Ahmad meletakkan bahan terlarang tersebut sebagai ‘pil wajib’ atau ‘makanan ruji’ untuk diambil setiap hari.

BARANGKALI individu normal akan menganggap berbelanja sehingga ribuan ringgit semata-mata untuk membeli dadah sebagai pemuas nafsu adalah sesuatu yang tidak masuk akal, apatah lagi jika mempunyai banyak tanggungan.

Bagaimanapun situasi agak berbeza buat seorang klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, apabila dia sebelum ini sanggup menghabiskan wang hasil mata pencarian demi menuruti ketagihannya terhadap dadah.

Ahmad mendedahkan, dia memperuntukkan lebih RM2,000 sebulan untuk membeli dadah jenis heroin.

BACA LAGI: Konon mampu beri tenaga, air ketum punca hidup graduan universiti di Selangor musnah

BACA LAGI: Anak jadi runner dadah geng kongsi gelap, ibu sentiasa ketakutan di rumah

Lebih parah, lelaki itu mula meletakkan bahan terlarang tersebut sebagai ‘pil wajib’ atau ‘makanan ruji’ untuk diambil setiap hari.

“Apabila ambil dadah, kita seolah-olah diikat dengan satu tali yang menyebabkan kita tak boleh nak pergi mana-mana. Saya kena ambil dadah dulu sebelum boleh buat benda-benda lain, seolah-olah ia pil wajib.

“Bayangkan dadah ini dah macam makanan ruji. Pernah satu hari, anak sakit tetapi saya kena cari dadah dulu, lepas itu baru boleh layan dan bantu anak saya. Lebih kurang macam itu.

"Saya utamakan dadah berbanding keluarga. Saya akan rasa tenang bila ambil dadah dahulu," katanya yang kini berada di Puspen kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Sungai Besi, Kuala Lumpur itu.

Kongsi Ahmad, kebiasaannya dia akan menghabiskan sekitar RM500 hingga RM700 untuk mendapatkan bekalan selama seminggu dan adakalanya boleh mencecah sehingga ribuan ringgit untuk sebulan.

roin

Ahmad menghabiskan menghabiskan sekitar RM500 hingga RM700 untuk mendapatkan bekalan heroin.

“Namun walaupun saya habiskan banyak wang untuk dadah, saya masih mampu memenuhi permintaan dalam hal kerja dan menanggung kehidupan bersama keluarga,” kata perunding teknikal yang ditemui dalam temu bual khas bersama Majoriti baru-baru ini.

Ketagihan yang keterlaluan terhadap bahan terlarang itu menyebabkan klien dari Lumut, Perak berkenaan menyediakan bilik khusus di rumahnya untuk melepaskan gian.

Mengimbau kembali detik permulannnya 'berjinak-jinak' dengan dadah jenis heroin, dedah lelaki berusia 41 tahun itu, ketika itu dia baru berkahwin pada usia 27 tahun.

Tidak dinafikan isterinya menjadi watak utama yang selalu menasihatkan Ahmad untuk tidak lagi terjebak dalam kancah dadah, antaranya berpindah ke kawasan lain, namun usaha itu masih gagal.

"Semasa belajar dulu saya tidak ada keinginan nak cuba dadah sebab fokus belajar. Saya tak nak susahkan keluarga.

“Mungkin juga sebab takut dengan ayah. Dia yang menyara pelajaran saya. Saya takut kalau cuba benda-benda macam itu nanti pelajaran saya tak berkat.

“Bila umur 27 atau 28 tahun, kehidupan saya mulai stabil. Saya dah bekerja dan ada pendapatan sendiri, masa itu keinginan untuk mencuba itu tiba-tiba muncul. Saya mula kenal dadah bila bertandang ke rumah kawan sekampung di Lumut. Dia tidak tawarkan pun tapi saya yang nak mencuba,” katanya yang menjejakkan kaki ke Puspen Sungai Besi pada tahun lepas.

WhatsApp Image 2024-09-03 at 18.09.34

Puspen Sungai Besi menempatkan banyak klien yang bekerja di bidang profesional.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata berusia 11, tujuh dan hampir dua tahun itu, keputusannya untuk menyerah diri secara sukarela ke Puspen dibuat selepas membayangkan nasib isteri dan anak-anaknya jika terus bergelumang dengan dadah.

Walaupun pada awalnya stigma Puspen seperti penjara menghantuinya, tetapi Ahmad sudah menganggap ia seperti rumah keduanya yang mengajar pelbagai perkara untuk meninggalkan kehidupan dahulu dan segera berubah.

“Awalnya, saya agak tak boleh terima tentang kehidupan di sini. Tapi kalau nak cerita soal berhenti, selangkah kaki masuk ke Puspen sebenarnya kita dah berhenti daripada ketagihan kerana di sini, kami bukan hanya mengajar bagaimana nak berhenti tetapi mengajar kita untuk mengubah sikap.

“Puspen mengajar bagaimana kita nak kembali kepada asas sebagai manusia, nak hidup dalam masyarakat, juga bagaimana kita menyara keluarga, bagaimana nak beri komitmen sepenuhnya terhadap kerjaya,” jelasnya yang tidak sabar untuk kembali bersatu bersama ahli keluarganya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram