STATISTIK Global Cancer Observatory (Globocan) meramalkan jumlah pesakit kes kanser baharu akan mencecah hampir 100,000 orang menjelang 2040 di Malaysia.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga melaporkan bahawa kira-kira 48,693 kes baharu dan 29,530 kematian akibat kanser pada 2020.
Disebabkan itu, pelbagai usaha dilaksanakan pihak kerajaan serta agensi-agensi kesihatan lain bagi memberi kesedaran tentang pencegahan awal.
BACA LAGI: 'Truck stop', rakyat Malaysia di AS kongsi cara elak kes lori rempuh rumah, kawasan penduduk
NCSM menawarkan perkhidmatan psikologi sosial buat pesakit kanser selain perubatan.
Namun, lebih penting untuk diketahui orang ramai adalah cara bagaimana menangani stigma 'kematian' yang sering kali dihadapi pesakit dan individu lain.
Mengulas lanjut tentang perkara itu, Presiden dan Pengarah Perubatan di Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Kuala Lumpur, Datuk Dr Saunthari Somasundaram, 58, berkata, rawatan bagi penyakit tersebut bukan sahaja bergantung kepada ubat-ubatan.
Beliau yang lebih mesra disapa Dr Saun bagaimanapun tidak menafikan bahawa kanser sememangnya memberi impak besar terhadap pesakit serta individu terdekat seperti ahli keluarga.
Katanya, disebabkan itu, masyarakat perlu diberi pendedahan secara holistik atau psikologi sosial sebagai langkah pendekatan bagi memberi pengetahuan terperinci berkenaan penyakit tersebut.
"Jika dahulu bila dapat tahu sahaja ada kanser, orang terus akan pergi hospital dapatkan rawatan atau ubat.
"Tetapi, sekarang saya melihat bahawa kita perlu keluar dan berjumpa sendiri dengan komuniti pesakit kanser untuk mendengar dan beri sokongan mental kepada mereka," katanya kepada Majoriti.
Dr Saunthari Somasundaram
Dr Saun yang berkhidmat di NCSM selama lebih 10 tahun itu juga berkata, cara terbaik mengurangkan risiko kanser merebak lebih cepat adalah dengan mendidik mereka tentang kepentingan menjaga kesihatan diri.
Menurutnya, menyembuhkan diri daripada penyakit kanser bukanlah fokus utama, sebaliknya perjuangan untuk meneruskan hidup adalah perkara penting bagi golongan individu tersebut.
Dr Saun pada masa sama mahu menyampaikan kepada individu-individu berkenaan bahawa mereka tidak perlu mengharungi dugaan itu seorang diri.
"Seperti di NCSM, kami memastikan supaya mereka tidak lagi perlu melakukan semua perkara sendiri. Sebagai contoh, kami akan sediakan rujukan daripada aspek perubatan, kaunseling dan perhubungan awam.
"Kami juga akan beri tunjuk ajar kepada mereka macam mana cara nak bertanya soalan tentang kanser apabila berjumpa doktor dan banyak lagi," jelasnya.
Wanita atau lelaki lebih cakna?
Ia secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka berfikir merawat diri pada masa sama perlu menjaga hubungan dengan keluarga, menguruskan diri dan menjana pendapatan untuk kelangsungan hidup.
Menyentuh tentang kesedaran, Dr Saun mendedahkan, wanita lebih cakna dan berani tampil melakukan pemeriksaan atau saringan kesihatan sebagai langkah pencegahan awal penyakit kanser.
Berkongsi pengalaman dalam bidang kesihatan, beliau berkata, kebanyakan jenis kanser boleh dikesan awal melalui saringan di mana-mana klinik kesihatan.
Wanita dan lelaki juga berisiko menghidap penyakit kanser. — Gambar hiasan/Agensi
Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antara jenis kanser yang sering didiagnosis oleh wanita adalah kanser payudara, serviks (pangkal rahim) dan ovari.
Manakala, sebanyak tiga jenis kanser paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki di Malaysia adalah kanser kolorektal, kanser paru-paru dan kanser prostat (kanser berlaku dalam bentuk kelenjar kecil seperti kacang daripada sistem pembiakan lelaki dan lebih banyak terjadi terutamanya mereka berumur 50 tahun ke atas).
"Sebagai contoh, bila nak buat pemeriksaan untuk kanser prostat. Lelaki biasanya tolak dan takut untuk lakukan saringan itu.
"Ada juga yang mengelak bila diarah untuk ambil suntikan pencegahan kerana beranggapan ia tidak penting.
"Jadi, bila sebut tentang pemeriksaan awal, tidak kira dalam cara apa sekali atau terpaksa, wanita lebih sanggup buat," katanya.
Beliau bagaimanapun menyarankan kepada masyarakat di luar sana agar tidak memandang remeh tentang saringan kesihatan meskipun tidak berasa sakit atau didiagnosis dengan penyakit kanser. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram