Wajibkan guna pengunci stereng khas elak budak bawah umur pandu kenderaan


  • Massa
  • Khamis, 05 Sep 2024

Kereta Toyota Corolla dipandu kanak-kanak berusia 10 tahun terbabas dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan lain di Jalan Arowana2, Taman Arowana Impian pada Rabu. — Polis

IBU bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang memandu kereta milik keluarganya sehingga mengakibatkan kemalangan di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impiana dekat Seremban, Negeri Sembilan akan didakwa atas kesalahan kecuaian menjaga anak.

Difahamkan, dalam kejadian pada Rabu itu, kenderaan yang dipandu kanak-kanak tersebut hilang kawalan ketika melalui sebuah selekoh dan berlanggar dengan sebuah van jenis Toyota yang di parkir di bahu kiri jalan.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu dan penumpangnya iaitu kanak-kanak berusia sembilan tahun yang juga jirannya tidak mengalami kecederaan.

BACA LAGI : [VIDEO] Ditangkap sekembali tunai umrah, akauntan penghidap HIV tekad diri bebas dadah

BACA LAGI : [VIDEO] Konon mampu beri tenaga, air ketum punca hidup graduan universiti di Selangor musnah

Memetik laporan media tempatan, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kedua-dua mereka berusia 40-an yang merupakan warga tempatan akan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Siasatan mendapati, kejadian itu berlaku ketika ibu bapa kanak-kanak terbabit tiada di rumah.

"Bapa kanak-kanak itu yang merupakan peniaga tidak sihat dan ketika kejadian, ibunya yang bekerja di bahagian pembersihan sedang membawa suaminya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Polis telah pun memanggil ibunya untuk memberi keterangan manakala bapanya akan dipanggil selepas ini," katanya pada Khamis.

steering-lock

Setiap ibu bapa perlu mempunyai pengunci stereng khas untuk setiap kenderaan mereka bagi mengelakkan anak mereka memandu kereta tersebut tanpa pengawasan. — Gambar hiasan/Agensi

Tambah beliau lagi, kanak-kanak itu pula akan disiasat atas kesalahan trafik di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 111 akta sama Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu-Lintas Jalan 1959.

Susulan daripada itu juga, rata-rata warga maya menggesa agar pihak berkuasa mengenakan hukuman yang lebih tegas terhadap ibu bapa yang cuai agar kejadian yang sama tidak berulang.

Seorang pengguna Facebook, Siti Mariani berkata, sekiranya tiada tindakan tegas yang diambil, kes kanak-kanak bawah umur memandu kereta akan kerap terjadi.

"Baru berumur 10 tahun sudah berani bawa kereta, bayangkan kalau dia meningkat dewasa. Sepatutnya kenakan tindakan yang lebih tegas, hukum penjara.

"Kalau setakat denda tidak akan memberi impak kepada kanak-kanak tersebut," tulisnya.

Sementara itu Shahrul Fitri Nawari pula mencadangkan agar setiap ibu bapa mempunyai pengunci stereng khas untuk setiap kenderaan mereka.

"Hanya cadangan, wajibkan semua ibu bapa ada pengunci stereng khas bagi mengelakkan anak mereka memandu kereta.

"Benda ini nampak remeh tetapi perlu kerana ia melibatkan nyawa," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram