BUAYA sesat yang dilihat berada di Taman Tasik Seksyen 7, Shah Alam, Selangor sudah berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada Rabu malam.
Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, buaya tersebut berjaya ditangkap sekitar jam 10.20 malam selepas ia memasuki perangkap disediakan pihaknya.
Walaupun sudah berjaya ditangkap, tapi pihaknya akan melakukan pemerhatian di kawasan tersebut untuk dua hari lagi bagi memastikan tiada lagi buaya yang boleh menganggu keselamatan awam.
Oleh itu, tasik tersebut akan ditutup kepada orang awam sehingga operasi selesai.
"ALHAMDULLILAH, operasi sudah berjaya dan kami menyelamatkan buaya air masin sepanjang 1.68 meter dan seberat 15 hingga 20 kilogram.
"Sebab utama operasi ini berjaya kerana kami dapat kawasan taman rekreasi pada waktu malam dan ia mengurangkan gangguan. Ia membolehkan buaya tersebut memasuki ke dalam perangkap yang kami pasangkan ayam segar sebagai umpan," kata Wan Mohd Adib.
Buaya tersebut akan ditempatkan di Paya Indah Wetland, Dengkil untuk membolehkan buaya tersebut menjalani proses kuarantin bagi memastikan hidupan tersebut bebas penyakit. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram