Sikap keluarga rumitkan usaha bantu penagih dadah — Pengasas DSK


  • Massa
  • Khamis, 05 Sep 2024

Abang Long (gambar kecil) seboleh-bolehnya tidak mahu melihat penagih berasa diri mereka dipinggirkan, sehingga membuatkan golongan tersebut malu untuk berhadapan dengan masyarakat dan kembali hidup dalam komuniti sendiri.

LEBIH sedekad Suzaidy Sulaiman menggalas tugas menjadi pembimbing rakan sebaya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pengasas badan bukan kerajaan (NGO), Diari Survivor Kepulihan (DSK).

Sehingga ke hari ini, tidak pernah terdetik di sudut hatinya untuk berhenti membantu penagih atau bekas penagih 'melepaskan' diri daripada bahan terlarang itu.

Malah, dia yang lebih mesra disapa Abang Long seboleh-bolehnya tidak mahu melihat penagih berasa diri mereka dipinggirkan, sehingga membuatkan golongan tersebut malu untuk berhadapan dengan masyarakat dan kembali hidup dalam komuniti.

BACA LAGI : [VIDEO] Terjebak dadah akibat 'buta' cinta, anak jati Sandakan tekad capai kemerdekaan sebenar

BACA LAGI : [VIDEO] Aktif seks bebas sejak sekolah, bekas bintang Liga Super 'kaki' kelab kini hidap HIV

Melalui DSK, pihaknya menggunakan pendekatan kumpulan sokongan dengan berkongsi kepakaran dan ilmu kepulihan dalam kalangan yang telah berjaya kepada masyarakat serta golongan penagih.

"Kita tak mampu nak ubah mereka, tetapi mampu beri ilmu dan sokongan moral,” katanya kepada Majoriti dalam satu temu bual khas baru-baru ini.

Abang Long juga menekankan pentingnya pendekatan psikologi dalam rawatan moden berbanding pendekatan keras yang digunakan dahulu.

"Hukuman itu masih diperlukan, tetapi dengan cara lebih berperikemanusiaan, bukan sekadar hukuman fizikal yang melampau.

"Setiap penagih ada kisah tersendiri dan mereka juga ingin berubah. Jadi, bila tibanya saat itu kami (DSK) bantu mereka," jelasnya.

363844580_1947365595619260_6038105012801241706_n

Pengasas Diari Survivor Kepulihan (DSK), Suzaidy Sulaiman

Dia yang juga bekas penagih berkata, antara aktiviti yang dilaksanakan DSK adalah bimbingan dan kaunseling, psikospiritual, sukan dan rekreasi serta penempatan kerja.

"Kita akan cuba bantu mereka untuk mencari kerja, sediakan rumah sehingga boleh berdikari.

"Pada masa sama kita akan pantau, kalau ada yang menagih kembali, kita lapor kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)," katanya.

Tambah Abang Long lagi, ia bukanlah tugas yang mudah kerana setiap penagih mempunyai kisah dan cabarannya tersendiri.

"Saya bagi contoh, keluarga terutamanya ibu penagih kadang-kadang akan merumitkan lagi keadaan kerana mereka tidak sanggup melihat anak mereka kesakitan dalam proses 'withdrawal'.

"Saya faham, ibu mana yang tidak sayangkan anak. Bila mereka lihat anak sudah 'sihat' dan berisi sedikit mulalah nak keluarkan anak walaupun realitinya penagih itu tak pulih sepenuhnya.

Interviu klien AADK. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Kebanyakan ahli keluarga terutamanya ibu klien risau untuk menghantar anak mereka mendapatkan rawatan pemulihan.

"Kita nak bantu hantar anak mereka secara sukarela ke pusat pemulihan seperti Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) tetapi ada yang ubah fikiran kerana takut anak tak boleh 'survive'.

"Ada segelintir penagih yang selesai menjalani rawatan pemulihan dadah, mereka akan 'relapse' (kembali menggunakan dadah). Oleh itu, amat penting orang sekeliling terutama keluarga membantu proses pemulihan. Jangan terlalu manjakan mereka," tegasnya.

Menutup bicara, Abang Long tidak menafikan hasrat untuk 'memutuskan hubungan' dengan dadah bukanlah mudah.

"Saya sendiri mengambil masa 15 tahun untuk pulih dan sebab itulah saya nak bantu golongan ini kerana saya pernah berada di 'lorong gelap' itu sendiri.

"Saya sendiri perlu menguatkan hati untuk terus istiqamah membuat kebaikan melalui DSK dan membantu pejuang kepulihan lain meneruskan perjuangan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram