Peniaga pasar malam wajib henti berniaga ketika maghrib di Perlis


  • Primer
  • Rabu, 04 Sep 2024

Peniaga pasar malam beragama Islam di negeri Perlis diwajibkan menghentikan operasi perniagaan ketika Maghrib berkuat kuasa 15 September ini. — Gambar hiasan

MAJLIS Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang bersidang pada 21 Ogos bersetuju untuk melaksanakan program 'Berhenti Dulu Kita Solat' sebagai salah satu inisiatif memperkasakan kempen Hayya Ala-Solah.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Menurut Asrul Aimran, peniaga pasar malam beragama Islam di negeri Perlis diwajibkan menghentikan operasi perniagaan ketika Maghrib berkuat kuasa 15 September ini.

BACA LAGI: Johnny’s Restaurants, Black Canyon nafi guna alkohol dan wain, sedang dapatkan sijil halal Jakim

BACA LAGI: Semua projek bernilai lebih RM10 juta dikehendaki guna sistem BIM — Ahmad Maslan

WhatsApp Image 2024-09-04 at 16.49.54

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil.

"Operasi dihentikan selama 20 minit termasuk 10 minit sebelum masuk waktu bagi membolehkan peniaga dan pengunjung menunaikan solat dalam keadaan selesa dan tidak tergesa-gesa.

“Ini antara inisiatif memperkasakan kempen Hayya Ala-Solah’ yang mana melalui program ini, peniaga pasar malam diwajibkan memberhentikan operasi perniagaan ketika Maghrib bagi menghormati waktu solat.

"Solat boleh dilaksanakan di masjid atau surau berdekatan atau di lokasi yang disediakan oleh penganjur tapak pasar malam selain mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai oleh peniaga.

“Bagi sebahagian kecil peniaga bukan Islam, mereka turut digalakkan menutup perniagaan sepanjang tempoh berkenaan, namun tiada sebarang halangan jika mereka mahu meneruskan aktiviti perniagaan.

“Inisiatif ini juga bertujuan menggalakkan pengunjung pasar malam yang beragama Islam supaya tidak membeli ketika masuknya waktu solat Maghrib selain mendidik rakyat menunaikan solat pada awal waktu dan tidak melengah-lengahkan solat,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi permulaan sebagai langkah mendidik masyarakat, anggota penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan turun padang bagi memastikan kejayaan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ dengan memberi nasihat dan teguran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram