Ambi derma lagi hasil ' jualan manik', bukti anak KL ini pejuang sebenar pesakit kanser


  • Massa
  • Jumaat, 30 Ogos 2024

Ambi menjadi penderma termuda yang menyumbang sebanyak RM4,000 di NCSM.

BARU berusia 11 tahun, Thanashree Ambikai Lal sudah melibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan masyarakat.

Matang seperti orang dewasa, kanak-kanak perempuan berasal dari Kuala Lumpur itu juga mampu berfikir jauh ke hadapan dalam membantu komuniti.

Mana tidaknya, Thanashree atau lebih mesra dipanggil Ambi menjadi penderma paling muda di Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

BACA LAGI: 'Bapa saya juga terima dia seadanya', BraderWheelchair bertuah miliki isteri sentiasa bersama kongsi idea buat konten

BACA LAGI: Populasi Subang Jaya kian meningkat? Kemudahan asas, keselamatan antara perlu dipertingkat selain tambah rumah

WhatsApp Image 2024-08-28 at 21.57.04

Ambi memberi sumbangan kali kedua di NCSM.

Memilih NCSM sebagai medium saluran, Ambi pada 2023 sudah menyumbangkan dana sebanyak RM1,876 sekali gus menandakan permulaan usahanya dalam mengutip sumbangan bagi tujuan kebajikan.

Tidak terhenti di situ, Ambi terus membuka langkah menyumbangkan dana sebanyak RM4,000 di badan bukan kerajaan (NGO) yang sama pada Ogos lalu.

Mengenali serba sedikit tentang dirinya, Ambi mempunyai hobi iaitu menghasilkan dan menjual perhiasan manik secara kecil-kecilan di sekitar Kuala Lumpur.

Manakala, hasil jualannya itu pula disalurkan kepada individu memerlukan menerusi NGO yang dipilih.

Permulaan Ambi berjinak-jinak dalam aktiviti kebajikan ternyata sejak usianya tiga tahun lagi dan sentiasa digalakkan oleh ibunya, Sheena Lal, 48.

"Waktu itu, kalau saya nampak ada orang minta tolong, saya akan minta ibu duit untuk beri kepada mereka.

"Tapi, bila umur 10 tahun, saya sertai bazar (karnival) pertama kali di sekolah dan jual barang-barang perhiasan daripada manik dan kraf tangan lain," kata Ambi kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-08-28 at 21.57.54

Antara perhiasan manik yang diberikan kepada kanak-kanak kanser di NCSM.

Ambi berkata, keputusan meneruskan sumbangan di NCSM adalah selepas melihat kanak-kanak seusianya menghidap kanser.

Katanya, kos perubatan dan rawatan yang perlu dikeluarkan sangat tinggi dan tidak semua berkemampuan untuk membiayainya.

"Mula-mula, ibu tunjuk pada saya beberapa organisasi, tapi saya pilih untuk beri kepada golongan kanak-kanak seperti saya," ujarnya.

Sumbangannya itu juga sebenarnya bukan hanya dapat membantu orang lain malah bermanfaat buat dirinya.

Melibatkan diri dengan komuniti masyarakat di usia itu sekali gus mampu meningkatkan kemahiran sosial Ambi.

Jika mahu dibandingkan ketika kali pertama menderma, Ambi tidak begitu berani untuk beramah mesra atau bergaul dengan individu lebih tua daripadanya.

Namun, perubahan ketara itu dapat dilihat selepas kali ketiga melakukan aktiviti kebajikan itu.

WhatsApp Image 2024-08-28 at 21.59.20

Selain melakukan amal, Ambi (tengah) juga mempunyai minat mendalam dalam bidang tarian khususnya tarian tradisional India.

Memerhati tindak-tanduk Ambi ketika berjumpa dengan penghuni NCSM pada 20 Ogos lalu, dia kelihatan tidak kekok untuk bertanya dan bermain bersama kanak-kanak tersebut.

Ditanya pula tentang cita-citanya, siapa sangka Ambi mahu menjadi seorang selebriti kerana minatnya terhadap bidang tarian.

"Saya suka buat amal kebajikan, tetapi saya nak jadi rockstar bila besar nanti.

"Saya dan sepupu juga sering menari bersama dan ada juga masuk kelas tarian jika ada masa lapang," kongsinya.

Anak tunggal itu juga berkata, segala perkara yang dilakukannya sekarang sentiasa dipastikan dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada masyarakat.

Tambahnya, dia tidak akan pernah berhenti untuk melakukan kebajikan meskipun perlu berusaha lebih keras. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram