'Thailand boleh buat, kenapa Malaysia tidak?', pasang lagu kebangsaan di tempat awam setiap hari cara terap semangat patriotik


  • Massa
  • Sabtu, 31 Ogos 2024

Kesemua individu berdiri dan berhenti melakukan aktiviti ketika lagu kebangsaan dimainkan di tempat awam di Thailand. — Agensi

SEMPENA hari kemerdekaan ke-67, mari sama-sama seluruh rakyat Malaysia mempamerkan semangat kecintaan kepada negara.

Semangat patriotik sekali gus boleh ditonjolkan dalam pelbagai cara termasuk melibatkan diri ke program-program sambutan hari kemerdekaan.

Seperti yang kita tahu, kerajaan Malaysia tidak akan terlepas daripada melaksanakan program sedemikian setiap tahun sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada wira-wira negara.

BACA LAGI: Johor rekod penduduk paling ramai aktif bersenam, program JB CFM boleh jadi ikutan negeri lain

BACA LAGI: 'Wanita lebih berani dan cakna', Dr Saun galak lelaki buat saringan awal cegah kanser

WhatsApp Image 2024-08-30 at 10.04.59 AM

Sambutan hari kemerdekaan yang dilakukan setiap tahun di Malaysia sebagai penghormatan kepada wira negara. Gambar hiasan

Justeru, Sambutan Hari Kebangsaan 2024 diadakan di Dataran Putrajaya pada Sabtu merupakan antara usaha kerajaan memberi pendedahan tentang perjuangan mempertahankan tanah air.

Program sedemikian juga menjadi sudah menjadi tradisi di Malaysia untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Namun, terdapat beberapa inisiatif atau langkah lain yang mungkin boleh diterapkan di negara ini.

Mengambil Thailand sebagai negara contoh dalam melaksanakan usaha tersebut setiap hari.

Bagi yang belum tahu atau jejak di Negeri Gajah Putih itu, mereka mempunyai ketegasan terutamanya apabila menyentuh tentang lagu kebangsaan.

Jika di Malaysia, peraturan menghormati lagu kebangsaan adalah dengan berdiri tegak dan ia kebiasaannya akan dimainkan ketika majlis-majlis korporat atau perhimpunan sekolah.

Meskipun cara penghormatannya sama, namun waktu lagu kebangsaan dipasang di Thailand sedikit berbeza kerana ia melibatkan tempat awam.

Kerajaan Thailand juga memutuskan untuk memainkan lagu kebangsaannya setiap hari pada dua waktu iaitu 8 pagi dan 6 petang di kawasan terbuka seperti pasar dan taman rekreasi.

Orang ramai yang mendengar lagu tersebut tidak kira rakyat tempatan mahupun pelancong disarankan untuk berdiri dan menghentikan segala aktiviti atau pergerakan ketika itu sehingga lagu itu tamat.

Ia bagaimanapun sedikit sukar bagi pelancong, tetapi mereka boleh membuat persediaan dengan melihat situasi orang awam di kawasan sekitarnya untuk mengenal pasti jika lagu itu dimainkan.

WhatsApp Image 2024-08-30 at 10.06.17 AM

Thailand mengambil langkah berbeza untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakatnya. Gambar hiasan/Agensi

Bukan itu sahaja, sesetengah panggung wayang di negara itu juga akan memasang lagu kebangsaan sebelum memulakan tayangan.

Lebih mengejutkan apabila kerajaan mereka sangat tegas kepada mana-mana individu yang tidak mengikut peraturan tersebut.

Untuk rekod, individu dengan kesalahan itu boleh didenda sebanyak RM13 (100 baht) berdasarkan undang-undang 1943 di Thailand sebelum ia dimansuhkan pada 2010.

Namun, tindakan tidak berdiri berdiri ketika lagu kebangsaan dimainkan masih dianggap sebagai tidak menghormati negara dan tabu (pantang larang) dalam kalangan rakyatnya.

Kejadian sedemikian juga sebenarnya pernah berlaku di negara terbabit pada 2019 yang melibatkan penonton di dalam panggung wayang.

WhatsApp Image 2024-08-30 at 10.07.26 AM

Lagu kebangsaan yang kebiasaannya dimainkan di panggung wayang sebelum memulakan tayangan di Thailand. Gambar hiasan/Agensi

Dalam kejadian itu, seorang wanita yang tidak boleh berdiri atas faktor kesihatan mempunyai pertelingkahan kecil dengan penonton lain kerana dianggap tidak menghormati sistem diraja.

Bukan semata ketegasan itu sebenarnya perlu ditekankan kepada rakyat Malaysia, namun penghormatan terhadap negara itu yang paling penting untuk diterapkan terutamanya golongan muda.

Mengikut kajian Indeks Belia Malaysia 2022 oleh Institusi Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia menyatakan tahap penyertaan belia dalam aktiviti politik, kenegaraan dan demokrasi sangat rendah dan tidak memuaskan dengan skor 24.66 peratus.

Melihat perkara itu, pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan melaksanakan program yang mengikut kesesuaian dan cita rasa belia zaman sekarang seperti persembahan muzik, karnival seni dan kegiatan sukan.

Malah, penggunaan warna asas dan motif Jalur Gemilang juga dibenarkan untuk digunakan sebagai corak tudung, songkok, samping, baju, seluar dan sebagainya sempena sambutan kemerdekaan di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram