Johor rekod penduduk paling ramai aktif bersenam, program JB CFM boleh jadi ikutan negeri lain


  • Massa
  • Khamis, 29 Ogos 2024

Peserta JB CFM boleh melakukan pelbagai aktiviti senaman di samping meluangkan masa bersama keluarga tercinta. — The Star

AMALAN gaya hidup sihat bukan sahaja boleh dilakukan melalui cara pemakanan seimbang.

Beriadah atau bersenam ringan juga boleh dijadikan sebagai rutin harian untuk mengekalkan tahap kesihatan diri daripada aspek fizikal dan mental.

Memandang remeh terhadap amalan itu secara tidak langsung memberi kesan buruk terhadap kualiti kesihatan anggota badan.

BACA LAGI: 'Truck stop', rakyat Malaysia di AS kongsi cara elak kes lori rempuh rumah, kawasan penduduk

BACA LAGI: [VIDEO] Ibu tenang selamatkan bayi, anak kecil lepas terbabas dalam parit di Perak rupanya cuba elak monyet

6228781930707533479

Bersenam antara amalan gaya hidup sihat yang perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat di Malaysia. — Gambar hiasan/Agensi

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2023, sebanyak 73 peratus kematian di Malaysia disebabkan penyakit tidak berjangkit (NCD) berikutan pengabaian amalan gaya hidup sihat.

Penyakit diabetes, kesihatan jantung, kanser, kolesterol tinggi antara kategori yang termasuk dalam NCD.

NCD juga tidak mengenal usia dan jantina, umur mahupun status.

Ditambah pula dengan kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 yang merekodkan 84 peratus dalam kalangan dewasa di negara ini tidak aktif dalam sukan atau aktiviti kecergasan.

Dapatan Tinjauan Kesihatan Remaja 2023 pula mendapati satu daripada tiga remaja berlebihan berat badan (obesiti) dan empat daripada lima tidak aktif secara fizikal kerana sering menghabiskan masa bersama gajet atau berada di depan komputer.

Bagaimanapun, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan seramai 8.7 juta rakyat Malaysia menunjukkan usaha kolektif dalam mengutamakan kesejahteraan diri dengan beraktiviti riadah, berjalan laju (brisk walking) dan berlari.

5903114927386768741

Penduduk di Johor Bahru memegang rekod tertinggi dalam penglibatan sukan. — The Star

Dalam laporan Banci Malaysia 2020 DOSM juga mencatatkan bandar Johor Bahru, Johor sebagai antara kawasan dengan jumlah melebihi 1 juta penduduk yang aktif melakukan aktiviti senaman.

Berdasarkan rekod tersebut, usaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melaksanakan Program Pagi Tanpa Kereta Johor Bahru (JB CFM) setiap bulan ternyata tidak sia-sia.

Dalam edisi Ogos, JB CFM giat melibatkan komuniti penduduk dan masyarakat luar untuk melakukan pelbagai sukan selain berlari seperti berbasikal, berekreasi dengan skuter elektrik dan aktiviti kreativiti terutamanya buat kanak-kanak.

Program yang dijalankan setiap Sabtu pukul 7 hingga 9 pagi itu juga memberi peluang kepada orang ramai melakukan aktiviti larian atau berjalan sepanjang 5 kilometer bermula di hadapan bangunan lama MBJB di Jalan Dato Onn.

Laluan itu juga menyusuri Jalan Ismail Sultan, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja, Jalan Abdullah Ibrahim, Jalan Dato Dalam, Jalan Khalid Abdullah dan Jalan Air Molek sebelum berakhir di titik permulaan.

Ia sekali gus membuka peluang kepada individu berkeluarga mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan meluangkan masa berkualiti bersama-sama.

Seorang peserta program tersebut, Kevin Lim Li berkata, program itu memberikan keseronokan kepada isteri dan anak remajanya kerana dapat mengurangkan masa dengan gajet di rumah sahaja.

Lelaki berusia 54 tahun itu pada masa sama kemudahan basikal yang disediakan ketika program lebih menggalakkannya untuk melakukan aktiviti tersebut.

6228738993919474784

Aktiviti menaiki beca juga disediakan dalam program tersebut. — The Star

Kevin berkata, rakan-rakan anaknya juga memutuskan untuk menyertai acara itu selepas melihat gambarnya di media sosial.

“Ini akan membawa lebih banyak manfaat kesihatan dan alam sekitar.

“Saya membangkitkan perkara itu semasa saya menjadi ahli majlis MBJB, tetapi terdapat kebimbangan mengenai gangguan aliran trafik.

“Saya masih berharap pengembangan program itu dapat dilakukan,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai ahli MBJB sehingga Mac lalu.

Manakala, seorang lagi peserta yang pertama kali menyertai program itu, M. Kanagavalli, 32, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya untuk melibatkan diri dalam aktiviti sihat seperti itu.

Mempunyai minat dan aktif melakukan aktiviti mendaki dan berkhemah bersama rakan-rakan, program JB CFM juga membantunya mengisi masa terluang sejak hobinya terhenti ketika wabak Covid-19.

Dia pada masa sama sanggup merentas sejauh 34 kilometer dari rumahnya di Kulai, Johor ke Johor Bahru pukul 5 pagi.

“Selepas Covid-19, kami semua sibuk dengan kerja dan kehidupan seharian sehinggakan tidak pernah kembali buat aktiviti biasa.

“Saya berharap program ini dapat memulakan semangat kami untuk kembali aktif,” katanya.

6228781930707533469

Program itu juga memberi manfaat kepada golongan kanak-kanak. — The Star

Wanita yang bekerja sebagai Eksekutif Sokongan Pemasaran dan Penghantaran itu berkata, program sedemikian perlu diperluaskan di setiap kawasan seperti Kulai.

Katanya, selain memberi manfaat kepada masyarakat, ia juga antara inisiatif terbaik untuk mempromosikan sesebuah daerah serta tarikan orang ramai.

Mana tidaknya, peserta JB CFM boleh melihat beberapa mercu tanda ikonik seperti Sky ScreenJohor Bahru, ikon Zero Mile, Sungai Segget, Kuil Purba Johor Bahru, Gurdwara Sahib Johor Bahru, bekas Pusat Pentadbiran Negeri Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) Johor Bahru dan Struktur Mahkota di sepanjang Jalan Ismail Sultan.

Di samping itu, para peserta juga diberi peluang untuk menyokong perniagaan-perniagaan kecil di sekitar kawasan itu.

Bukan sekadar itu, program bebas tanpa kenderaan turut memberi pendedahan kepada sukan lain seperti frisbee dan memanah sekali gus kesan positif kepada kanak-kanak.

6228738993919474785

Aktiviti memanah turut digemari peserta kanak-kanak program terbabit. — The Star

Ibu kepada empat anak, Arlinawati Akob, 43, pula menyatakan bahawa keseronokan anak-anaknya itu tidak dapat dinafikan apabila seorang daripadanya tidak kisah bangkit dari tidur awal pagi semata-mata untuk menyertai program tersebut.

Menurutnya, pemberian baucar membeli-belah sedikit sebanyak dapat meningkatkan motivasi anak lelakinya, Danish Arfan Mohd Adam yang berusia tujuh tahun selepas memanah.

Untuk rekod, program JB CFM yang sudah bermula sejak 2015 itu terpaksa ditangguhkan seketika ketika pandemik Covid-19 sebelum ia diteruskan kembali pada 2021.

Dengan melakukan program itu, MBJB turut mewujudkan platform bagi penglibatan entiti atau badan bukan kerajaan (NGO) menyediakan perkhidmatan dan aktiviti percuma untuk rakyat.

Lebih menarik apabila MBJB bekerjasama dengan agensi kerajaan dan hospital swasta dalam menyediakan pemeriksaan kesihatan asas percuma dan terbuka ketika program itu berlangsung.

Usaha tersebut juga diharapkan dapat menjadi contoh kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri lain demi mewujudkan penduduk dan persekitaran yang sihat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram