Kerajaan disaran tubuh agensi nasional berpusat AI, laksana dan selaras strategi tadbir urus teknologi


  • Primer
  • Isnin, 02 Sep 2024

Kemahiran penggubal dasar dan penjawat awam dalam penggunaan serta pentadbiran AI perlu dipertingkatkan.

INSTITUT Penyelidikan Khazanah (KRI) mencadangkan kepada kerajaan agar menubuhkan agensi nasional berpusat untuk kecerdasan buatan (AI) sebagai titik tumpuan tunggal bagi menyelaras dan melaksanakan strategi Malaysia melibatkan penggunaan serta tadbir urus AI.

KRI juga mencadangkan supaya Malaysia menetapkan objektif nasional yang jelas untuk rangka kerja kawal selia AI ini bagi memastikan keselarasan dasar merentas dan dalam sektor.

Menurut KRI agensi nasional berpusat seperti itu boleh membina hubungan antara pakar dalam pelbagai sektor, serta mengumpul dan menyebarkan maklumat mengenai implikasi AI kepada orang ramai.

BACA LAGI: Doktor dedah pesakit usia 40 tahun tak pernah gosok gigi, punca karang menebal

BACA LAGI: Mahu buat aktiviti larian tapi takut serangan asma, ketahui tip bantu elak risiko kesihatan

Machine learning reaction and ai artificial intelligence.Chat bot software network.big data and block chain system.Neuralink with smart brain.generative art

KRI harap kerajaan menyelaras dan melaksanakan strategi Malaysia melibatkan penggunaan serta tadbir urus AI.

“Malaysia boleh mengambil contoh dari negara lain yang telah membangunkan garis panduan dan peraturan AI dengan membina kerjasama pembelajaran antarabangsa dan menyertai proses penetapan piawaian antarabangsa.

“Bagaimanapun, peraturan global tidak patut diterapkan secara terus dalam konteks Malaysia.

“KRI mengesyorkan agar Malaysia mewujudkan rangka kerja kawal selia yang tangkas dan adaptif, sesuai dengan peranan negara sebagai pelaksana AI yang mampu menyesuaikan diri seiring dengan perkembangan penggunaan AI di Malaysia,” kata KRI dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu memaklumkan dalam usaha mengkaji tadbir urus AI di Malaysia, KRI telah menemu bual lebih 20 pihak berkepentingan utama dalam bidang berkenaan semasa perbincangan meja bulat itu untuk mendapatkan pandangan pakar mengenai implikasi dan tadbir urus AI.

“KRI telah mengenal pasti tiga kategori risiko yang berkaitan dengan AI iaitu ketinggalan kerana tidak mengguna pakai AI, AI yang tidak selamat dan berpotensi menimbulkan kesan tidak diingini dan risiko persenjataan atau penyalahgunaan AI secara sengaja.

“Kekurangan kesiapsiagaan dalam struktur tadbir urus dan kepakaran boleh memburukkan lagi risiko ini,” katanya.

Justeru, KRI mencadangkan supaya kemahiran penggubal dasar dan penjawat awam dalam penggunaan serta pentadbiran AI perlu dipertingkatkan.

Kerajaan Malaysia telah melancarkan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021 hingga 2025 pada 2021 dan dijangka akan mengeluarkan Garis Panduan dan Etika AI menjelang akhir tahun ini.

Usaha itu adalah sebahagian daripada langkah negara untuk menjadi hab AI serantau di Asia Tenggara, meningkatkan produktiviti negara dan memperkukuh peranan dalam ekonomi digital global. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram