'Maaf sebab banyak tipu', Jason akui masalah keluarga punca ketagih dadah sejak usia 11 tahun


  • Massa
  • Isnin, 02 Sep 2024

Jason diselamatkan dari kehidupan lampau oleh pihak berkuasa pada November lepas.

SETIAP anak-anak yang membesar mengimpikan untuk memiliki sebuah keluarga bahagia bersama ibu bapa penyayang, selain setiap kemahuan dan keperluan dituruti. Pendek kata semua remaja mahukan keluarga untuk berpaut serta berlindung.

Rumah dan keluarga yang kita boleh panggil syurga itu bagaimanapun tidak berlaku kepada seorang remaja lelaki yang mahu dikenali sebagai Jason apabila hubungan ibu bapanya mula goyah gara-gara menjadi mangsa scam.

Sindiket penipuan yang memerangkap ibu pemuda berusia 18 tahun itu menyaksikan keluarganya bukan hanya kehilangan sejumlah wang, malah keharmonian keluarga itu secara perlahan-lahan pudar.

BACA LAGI: [VIDEO] Sanggup tinggalkan bayi baru lahir kerana dadah, nenek muda ingin rasai erti merdeka sebenar

BACA LAGI: Dadah tak kenal mangsa, ayuh bangkit 'merdekakan' Malaysia

Kepincangan mula berlaku ketika Jason berusia 11 tahun hingga menyebabkan anak kedua daripada tiga beradik itu sering ponteng sekolah, menghabiskan masa dengan rakan-rakan kurang bermoral sehingga mula rapat dengan kumpulan yang terjebak dengan najis dadah jenis syabu.

"Ibu dulu kena scam, selepas itu dia jadi macam gila dan banyak bercakap seorang diri. Saya mula menjauh sebab ibu dan ayah selalu bergaduh. Saya mula ambil dadah sewaktu umur 11 tahun.

"Gara-gara berkawan dengan rakan tidak baik, selalu lepak lihat mereka hisap dadah. Waktu itu semua nak cuba," katanya ketika pertemuan eksklusif di Puspen Seri Iskandar baru-baru ini.

Klien yang menggunakan alasan mengambil dadah atas tujuan escapism untuk melupakan masalah keluarga pada awalnya tetapi lama-lama mengalami ketagihan sehingga hasil titiknya peluhnya digunakan untuk bahan terlarang itu.

Benar, Jason mula bekerja seawal berusia 11 tahun di 'kelab malam' selepas dia memutuskan untuk tidak bersekolah, malahan tidak menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Interviu klien AADK. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Jason (berbaju kuning) ketika sesi kaunseling bersama kaunselor di Puspen Seri Iskandar.

"Saya kerja judi di kelab malam. Saya tipu ibu bapa, saya cakap kerja bar. Kawan-kawan yang lebih berusia tolong cari kerja. Ada fasa saya insaf tapi tidak sampai sebulan.

"Kebanyakan duit saya dapat kira-kira RM1,000 guna untuk dadah. Saya pernah rasa menyesal tapi akhirnya sentuh juga. Semuanya sebab saya nak lupakan masalah keluarga," katanya yang diselamatkan oleh pihak berkuasa pada November lepas.

Mengimbau detik sebelum Jason menjejakkan kaki ke Puspen Seri Iskandar kira-kira sembilan bulan lepas, klien tersebut masih tidak dapat melupakan raut wajah ibu bapanya yang terkejut anak kesayangan mereka sesat dalam kehidupan penuh najis dadah itu.

Langit tidak selalunya mendung buat Jason apabila Puspen Seri Iskandar seolah-olah memberi kehidupan kedua apabila dia kini mula mengisi masa dengan rutin perkara-perkara berfaedah.

"Walaupun ibu bapa saya marah tapi mereka masih melawat. Saya suka sini tak macam di luar yang banyak cabaran. Sini lagi mudah nak berubah. Jika dah keluar, saya akan jauhkan diri dari rakan-rakan.

"Program di sini (Puspen Seri Iskandar) banyak bantu saya belajar, banyak kelas dan ada kursus-kursus kecil. Saya juga gembira dapat mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan harap ia dapat bantu saya dapat kerja dan bantu keluarga.

"Untuk kedua orang tua, saya nak minta maaf sebab banyak tipu dan buat benda tak baik, selalu tak balik rumah dan tiada masa nak jaga semua," tutup bicaranya sambil kelihatan air matanya mula bergenang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram