EKSPLORASI Merdeka @ Muzium 2024 bermatlamat mengupayakan potensi guru-guru dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang kreatif, inovatif dan bermakna berdasarkan elemen merentas kurikulum (EMK) bagi meningkatkan minat murid terhadap PdP.
Mengambil tempat di dua lokasi berbeza di Muzium Negara dan Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, program tersebut menampilkan kelainan menerusi tema yang dipilih iaitu Kerjaya Impian.
Manakan tidak, peserta terlibat teruja hadir dengan mengenakan pakaian lengkap mengikut karier impian masing-masing sekali gus menyuntik konsep berbeza dan menyemarakkan semangat murid pada penganjuran yang memasuki kali kedua itu.
BACA LAGI: KPM giat tingkat usaha penyediaan tambahan internet, tablet untuk sekolah Orang Asli di Pos Betau
BACA LAGI: KPM beri jaminan tiada pelajar cemerlang SPM tercicir tempat lanjut pengajian
Keunikan yang ditampilkan itu juga lantas mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Record sebagai program yang unik menerusi penglibatan 400 buah sekolah dari tujuh negeri dengan penyertaan keseluruhan 1,200 orang murid.
Peserta program ceria mengenakan pakaian lengkap mengikut karier impian sekali gus menyuntik konsep berbeza pada penganjuran kali ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Abdul Aziz Hashim berkata, kelainan Eksplorasi Merdeka @ Muzium 2024 juga ditampilkan menerusi pengisian programnya.
"Terdapat penambahan dalam pengisian program yang melibatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Bahasa Inggeris yang bertepatan dengan dasar KPM," katanya.
Bermula pukul 7 pagi hingga 3.30 petang, program bersempena sambutan bulan kemerdekaan yang diadakan pada Khamis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pada sebelah pagi dan majlis penutup pada sebelah petang dirasmikan Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Saraswathy Kandasami.
Kah Woh (kanan) menyantuni sebahagian peserta ketika hadir Program Eksplorasi Merdeka @ Muzium 2024.
Mengulas lanjut mengenai program itu, Abdul Aziz berkenaan, beberapa agensi luar dijemput untuk mengadakan pameran bagi menyemarakkan lagi penganjuran yang masuk kali kedua sejak dilaksanakan pada 2023.
"Ia juga bertujuan memberi peluang kepada pihak berkepentingan khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bekerjasama membentuk persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan kepada murid serta guru," katanya.
Menjelaskan mengenai matlamat utama penganjuran Eksplorasi Merdeka @ Muzium 2024 kali ini, Abdul Aziz berkata, program itu bertujuan mengupayakan potensi guru-guru menghasilkan satu bentuk PdP kreatif dan inovatif dan bermakna berdasarkan EMK bagi meningkatkan minat murid terhadap PdP.
"Seperkara lagi program ini adalah salah satu usaha untuk mendidik generasi muda khususnya murid sekolah untuk mengenali, menghargai serta memelihara produk warisan dunia yang berada di negeri mereka.
"Perkara ini selaras dengan hasrat KPM mengutamakan Pendidikan Manusiawi dan Pembangunan Karakter yang menerapkan nilai murni dalam diri murid bagi menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat, selain mengukuhkan keharmonian sosial dan melahirkan generasi berempati tinggi serta cintakan keamanan," jelasnya.
Penganjuran program sebegini dapat menggalakkan gaya hidup sihat melalui kegiatan riadah dan sukan.
Abdul Aziz berkata, JPWPKL amat mengharapkan program itu dapat dilaksanakan dengan jayanya, kerana buat julung kali pihaknya dapat melaksanakan program sedemikian dengan pihak muzium bagi memberi pendedahan secara langsung kepada warga pendidik dan murid kepada sumber pendidikan di muzium.
Oleh itu menurutnya, Eksplorasi Merdeka @ Muzium 2024 diharapkan dapat merangsang minat murid terhadap pembelajaran khususnya mata pelajaran Sejarah iaitu mata pelajaran wajib lulus untuk menggenggam segulung Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Saya juga berharap agar hubungan ini tidak hanya berhenti di sini bahkan lebih banyak sesi libat urus lain khususnya dalam aspek memupuk nilai-nilai positif dalam diri anak didik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Program ini diharapkan menjadi titik tolak kepada JPWPKL dan JMM untuk terus berkolaboratif bagi melestarikan pendidikan yang berkualiti kepada anak bangsa demi memakmurkan negara kita Malaysia yang tercinta ini," katanya.
Persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dapat diwujudkan kepada murid serta guru menerusi program Eksplorasi Merdeka @ Muzium 2024.
Sementara itu, KPM dalam kenyataan berharap dengan penganjuran program sedemikian dapat menggalakkan gaya hidup sihat melalui kegiatan riadah dan sukan.
Selain itu, KPM berkata, program itu juga boleh memantapkan kemahiran sosial dan kerja berpasukan dalam kalangan guru dan murid untuk menerokai pembelajaran secara luar bilik darjah seperti Muzium Negara, Arkib Negara atau tapak warisan.
"Aktiviti ini juga dapat memperkasakan pendekatan PdP berasaskan inkuiri dalam melahirkan murid-murid yang berfikiran kreatif dan kritis," maklum KPM.
KPM turut berharap program itu mampu memberi suntikan semangat kepada para guru dan murid agar terus gigih menimba ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang walau di mana-mana sahaja mereka berada dan menjadikan muzium sebagai salah satu institusi yang dapat menyokong sesi memperkaya ilmu pengetahuan demi melahirkan anak baik lagi cerdik (ABC) serta mendokong falsafah karamah insaniah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram