OBJEK anomali atau tidak normal yang dikesan di bawah permukaan menerusi Radar Menembusi Tanah (GPR) bukan mangsa yang hilang dalam kejadian lubang benam yang berlaku di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos lalu.
Perkara itu disahkan selepas kerja pengorekan dilakukan di lokasi utama kejadian tanah jerlus itu pada Jumaat tidak berhasil menemukan mangsa yang hilang.
Dalam satu kenyataan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sudah membuat korekan dengan kedalaman satu hingga dua meter yang berskala kecil di lurang kumbahan satu di lokasi utama kejadian.
BACA LAGI: Graduan diploma dari Muar ambil peluang beralih bidang penuhi cita-cita miliki kebun sendiri
"Korekan dibuat setelah GPR mengesan kemungkinan terdapat objek anomali berada satu meter bawah tanah dalam kawasan 'ground zero' (lokasi kejadian).
"Aktiviti korekan dijalankan sedalam 1.5 meter secara 'manual shoring' (sistem topangan sementara secara manual) oleh pasukan SAR, namun penemuan negatif," kata kenyataan itu.
Alat GPR digunakan oleh pihak berkuasa dalam usahanya bagi mengesan mangsa yang hilang dalam kejadian lubang benam dekat Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos lalu.
Kenyataan itu turut menyatakan bahawa kerja korekan manual dihentikan sekitar pukul 10.15 malam Jumaat.
Pada Jumaat, DBKL memaklumkan operasi SAR yang sudah memasuki hari kesembilan pada Sabtu akan diteruskan pada sebelah malam selepas fokus pencarian menggunakan alat GPR pada sebelah siang.
DBKL sebelum itu turut memaklumkan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) akan ditutup pada Sabtu bagi memberi laluan kepada SAR mangsa lubang benam Jalan Masjid India dan pemeriksaan tanah.
Ujar kenyataan itu, pemeriksaan tanah akan dijalankan di sekitar Lorong TAR dan Masjid India bagi mengenal pasti lokasi dan keselamatan jalan raya di sekitar kawasan lubang benam itu.
Jumaat minggu lepas, seorang wanita yang juga pelancong India dikenali sebagai G Vijayalakshmi, 48, terjatuh ke dalam lubang benam ketika dia berjalan di sepanjang Jalan Masjid India ke kuil berhampiran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram