PEMBINAAN menara telekomunikasi di Persiaran Serai Wangi 2, Bandar Seri Coalfields akan dihentikan sehingga perbincangan dibuat bersama penduduk, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Harrison Hassan.
Beliau berkata demikian ketika hadir meninjau protes yang dilakukan oleh 25 orang penduduk di kawasan itu.
Penduduk itu terdiri daripada Residensi Senna dan Residensi Hampton, yang terletak di Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh di Selangor.
BACA LAGI: [VIDEO] Pecah cermin kereta guna batu sebab kena ‘double park’ boleh dijel 5 tahun — Peguam
BACA LAGI: [VIDEO] 'Talian aduan JPJ tak pernah berjawab', kualiti servis penjawat awam dipersoal
Seorang penduduk, Ng Si Jian, 48, berkata, surat telah ditulis kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), menjelaskan tentang kerisauan penduduk terhadap lokasi menara tersebut yang berhampiran kawasan perumahan, yang mungkin memberi kesan terhadap kesihatan.
"Menurut Prof Dr Adlina Suleiman dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, pendedahan kepada radiasi elektromagnetik (EMR) boleh menyebabkan kesan biologi termasuk gangguan tidur, pening kepala, mengurangkan tahap fokus, pening, masalah kardiovaskular dan tindakan refleks," katanya.
Seorang lagi penduduk, Woo Wai Kuan berkata, notis mengenai projek itu diletakkan di hujung Persiaran Serai Wangi 2, dan tidak disedari oleh penduduk disitu memandangkan jalan tersebut hanya digunakan oleh sebahagian kecil penunggang motor.
"Penduduk mendapat tahu tentang notis itu pada 10 Ogos lalu," katanya.
Penduduk juga mendakwa ahli majlis kawasan Zon 18, Siew Seow Cheok tidak mengetahui tentang projek itu.
Mereka berkata aduan telah dibuat kepada Pejabat Perdana Menteri dan juga MPKS, namun diberitahu bahawa projek itu telah diluluskan.
Notis papan tanda yang dipasang di hujung Persiaran Serai Wangi 2
Aduan itu kemudiannya dipanjangkan ke Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Wai Kuan menyifatkan proses kelulusan itu 'cacat' kerana penduduk tidak berikan peluang untuk menyuarakan kebimbangan mereka.
Sementara itu, Harrison, yang juga tidak mengetahui tentang projek tersebut menyifatkan tindakan agensi berkaitan meluluskan projek itu tanpa berunding dengan penduduk adalah tidak bertanggungjawab.
"Taman perumahan yang terlibat harus mengetahui mengenai pembangunan atau tapak pembinaan yang mungkin memberi kesan buruk kepada mereka," katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa beliau akan berhubung dengan MPKS dan juga agensi terbabit mengenai projek tersebut.
"Agensi-agensi kerajaan perlu berjumpa penduduk dan mendapatkan maklum balas mereka sebelum meneruskan kerja-kerja pembinaan menara telekomunikasi.
"Mereka harus menghentikan projek itu dan melibatkan diri dengan penduduk," kata Harrison sambil menambah bahawa kawasan itu padat dengan penduduk dan terdapat kawasan lain untuk menara itu dipasang. — The Star/ MEGAT SYAHAR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram