Audit integriti saluran paip kumbahan elak tragedi tanah jerlus berulang — TPM Fadillah


  • Primer
  • Rabu, 28 Ogos 2024

Fadillah berkata, pengauditan sedemikian perlu dijalankan secepat mungkin sebaik operasi SAR selesai.

PIHAK berkuasa berkaitan diarahkan untuk menjalankan audit integriti ke atas saluran paip kumbahan di sepanjang Jalan Masjid India, Kuala Lumpur sebaik usaha mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan pelancong India yang hilang selesai dijalankan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengauditan sedemikian perlu dijalankan secepat mungkin.

“Seperti semua sedia maklum, lubang benam kedua berlaku hari ini (Rabu), justeru demi keselamatan awam, saya telah mengarahkan audit integriti dijalankan, bermakna keseluruhan sistem kumbahan dan saluran paip untuk Jalan Masjid India mesti diperiksa.

“Bagaimanapun, audit integriti tidak dapat dilakukan selagi SAR dijalankan.

"Jadi, ia (audit integriti) mesti dilakukan sebaik sahaja SAR selesai," katanya kepada pemberita di lokasi lubang benam pada Rabu.

Menurutnya, punca kepada kejadian lubang benam itu juga akan dipastikan melalui audit integriti.

"Keutamaan kita sekarang ialah operasi SAR. Selepas operasi selesai, kita akan panggil semua agensi yang terlibat dalam utiliti termasuk DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) untuk melihat semuanya di bawah tanah dan melakukan bedah siasat.

“Kami juga akan melihat bagaimana untuk memastikan kejadian serupa tidak berulang,” katanya.

6230876204005702655

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mengenai operasi SAR ke atas pelancong India yang hilang Vijayalaksmi, 48, Fadillah berkata, operasi itu sedang dijalankan terdiri daripada pelbagai usaha termasuk melibatkan anggota penyelamat atau menggunakan teknologi seperti kamera dan peralatan lain.

“Semua usaha sedang dilakukan termasuk di dalam sistem kumbahan awam sehingga loji rawatan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam.

“Dari segi penggunaan teknologi, pasukan SAR memberi tumpuan kepada lokasi ini dan kami berharap usaha itu lancar dan berjaya,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa sentiasa berhubung dengan ahli keluarga dan Suruhanjaya Tinggi India.

Dalam pada itu, Fadillah turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.

"Saya tahu terdapat ramai 'pakar' Google di luar sana. Jangan lakukannya kerana ia tidak akan membantu sesiapa pun," katanya.

Ditanya mengenai status kawasan Jalan Masjid India, Fadillah berkata, ia masih selamat buat masa ini.

“Jadi, mana-mana kawasan atau laluan yang dikepung tidak boleh digunakan.

“Ikut semua arahan daripada pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Mengenai sama ada kerajaan akan mendapatkan bantuan daripada pakar asing, Fadillah berkata, buat waktu ini, kepakaran tempatan sudah mencukupi.

“Kita mempunyai cukup pakar tempatan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan agensi lain serta jurutera,” katanya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram