Pendaki wanita 54 tahun maut ketika turun Gunung Kinabalu


  • 112
  • Jumaat, 30 Ogos 2024

Pendaki wanita itu dilaporkan maut ketika menuruni Gunung Kinabalu pada Khamis.

SEORANG wanita tempatan mengalami komplikasi kesihatan dan meninggal dunia ketika menuruni Gunung Kinabalu, Sabah pada Khamis.

Mangsa yang berusia 54 tahun itu dipercayai lemah dan mengalami hipotermia di kilometer 8 denai puncak gunung tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau (BBP), Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pukul 11.24 pagi.

BACA LAGI: Wanita 90 kg cedera tulang rusuk, jatuh gaung ketika turun Puncak Gunung Korbu

BACA LAGI: 'Bukan kehilangan tapi kita memulangkan', isteri reda rangka ditemui milik Muhammad Syafiq

starting-point-timpohon-gate-1

Wanita berkenaan disahkan meninggal dunia ketika dibawa usung ke pintu Timpohon — Mount Kinabalu

Menurutnya, pasukan penyelamat dan Malim Gunung meminta bantuan daripada kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar) untuk membantu usaha menyelamat.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke rumah rehat Panalaban untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, mangsa turut diberikan sokongan oksigen dan bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR), serta bantuan defibrilator luaran automatik (AED).

Beliau berkata, wanita itu bagaimanapun masih tidak sedarkan diri.

Menurutnya, pasukan Mosar, kakitangan TTS dan Malim Gunung kemudian membawanya menggunakan pengusung turun ke pintu Timpohon yang merupakan titik permulaan mendaki gunung setinggi 4,101m itu.

“Tetapi setibanya di sana, mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan,” kata Ridwan ketika dihubungi.

Mayat wanita itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya, katanya sambil menambah operasi tamat pada 8.35 malam. — The Star/DURIE RAINER FONG

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram