[VIDEO] Ibu tenang selamatkan bayi, anak kecil lepas terbabas dalam parit di Perak rupanya cuba elak monyet


  • Tular
  • Isnin, 26 Ogos 2024

Tangkap layar video memaparkan situasi tegang yang berlaku ketika operasi menyelamatkan keluarga terbabit. — Facebook

ENAM sekeluarga berdepan detik cemas apabila kereta dipercayai dipandu seorang wanita terbabas dan terjunam ke dalam parit di Kilometer 15, Jalan Selama-Bagan Serai, Perak pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Selama menuju ke Bagan Serai.

Juna berkata, dalam kejadian kira-kira 3.45 petang itu, kereta jenis Proton Iriz hitam yang dipandu wanita terbabit membawa lima penumpang termasuk empat kanak-kanak berusia setahun hingga 13 tahun.

BACA LAGI: Lagi mudah ingat, KKM atau KPM boleh tiru 'Jingle' dari Hong Kong bantu kanak-kanak tempuhi musim panas

BACA LAGI: Pelajar lebih mudah kuasai Matematik dan Sains dengan cara buka ruang kreativiti, inovasi

Menurutnya, kemalangan berlaku berpunca daripada cubaan untuk mengelak sekumpulan monyet sebelum terbabas.

"Kereta berkenaan melanggar sebatang tiang elektrik dan terjatuh dalam parit di kanan jalan.

"Kesemua mangsa diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menjelaskan bahawa kesemua mangsa dibenarkan pulang pada hari sama selepas pemeriksaan kerana tiada sebarang kecederaan serius.

Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Kaedah 10, Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu lintas 166/59.

Sebelum ini tular sebuah video di Facebook memaparkan tindakan seorang wanita berusaha menyelamatkan anaknya daripada tenggelam dan lemas dengan bantuan orang awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram