'Truck stop', rakyat Malaysia di AS kongsi cara elak kes lori rempuh rumah, kawasan penduduk


  • Massa
  • Selasa, 27 Ogos 2024

Perangkap pasir antara ciri keselamatan dibina untuk kenderaan berat seperti lori yang mengalami kegagalan brek. — Agensi

KES kemalangan jalan raya sentiasa menjadi hiasan penting dalam akhbar dan platform media sosial setiap hari.

Jika boleh dianggarkan, sekurang-kurangnya satu atau dua kemalangan kenderaan di jalan raya pasti berlaku dalam sehari.

Maka, tidak hairan apabila statistik harian Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 1,628 kes kemalangan direkodkan dengan membabitkan lima kematian setakat 17 Ogos lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Ibu tenang selamatkan bayi, anak kecil lepas terbabas dalam parit di Perak rupanya cuba elak monyet

BACA LAGI: Lagi mudah ingat, KKM atau KPM boleh tiru 'Jingle' dari Hong Kong bantu kanak-kanak tempuhi musim panas

2178693

Sebanyak 652 kes kemalangan melibatkan kenderaan berat direkodkan bagi suku pertama 2024. — Gambar hiasan

Malah, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah pula sebelum ini memaklumkan bahawa sebanyak 652 kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori kontena, lori kecil dan bas ekspress direkodkan bagi suku pertama 2024.

Meskipun jumlah itu dilihat tidak besar namun, ia seharusnya perlu ditangani bagi mewujudkan persekitaran jalan raya selamat untuk pengguna.

Inisiatif yang boleh dilakukan pihak Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kerja Raya (KKR) adalah dengan menambah baik ciri-ciri keselamatan terutamanya buat kenderaan muatan berat seperti lori.

Mengambil contoh di Amerika Syarikat (AS), jalan raya berbukit disediakan beberapa ciri keselamatan khas untuk jenis kenderaan tersebut bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Antaranya adalah dengan menyediakan perangkap pasir atau runaway truck ramp khusus ketika waktu kecemasan bagi lori bermuatan berat.

Perangkap pasir berfungsi sebagai satu laluan khas di tepi jalan raya atau lebuh raya yang permukaannya dipenuhi dengan batu-batu kerikil kecil dan campuran pasir.

Kebiasaannya, ia juga dibina berhampiran laluan curam yang menuruni bukit atau selekoh tajam dengan bahagian hujung laluan dibuat semakin tinggi.

Screenshot (3103)

Papan tanda amaran dipasang sepanjang jalan berbukit itu. — Facebook

Ia bertujuan supaya dapat menghentikan kenderaan berat yang mengalami kegagalan brek ketika laluan berbukit serta mengelakkan pelanggaran dengan pengguna lain di laluan bertentangan.

Tambahan pula, kenderaan berat sememangnya sangat berisiko tinggi untuk berdepan dengan masalah kegagalan brek ketika menuruni jalan berbukit.

Bukan setakat itu, terdapat juga papan tanda amaran disediakan di tepi jalan sebelum menemui laluan perangkap pasir sebagai notis awal untuk pemandu lori mengurangkan had laju.

Perkara itu jelas membantu pemandu negara terbabit termasuk pelancong yang memandu di lebuh raya tersebut.

Ia juga sama seperti apa yang dikongsikan seorang warga tempatan berkhidmat di syarikat penghantaran barang AS ke Malaysia menerusi akaun Facebook Mail-Boy: US to Malaysia Shipping.

Melalui video pemanduannya di sebuah lebuh raya di AS, terdapat beberapa papan tanda awal memberitahu pemandu lori dengan muatan lebih kira-kira 9,000 kilogram (kg) untuk berhenti dan memeriksa brek sama ada dapat berfungsi dengan baik atau tidak.

Sepanjang menuruni laluan berbukit itu, terdapat juga papan tanda amaran bagi pemandu lori mengurangkan gear sebagai langkah keselamatan sebelum menemukan perangkap pasir yang disediakan sekiranya brek gagal berfungsi.

Pada masa sama, pemandu lori di AS juga ditetapkan untuk memandu dengan kelajuan 20 kilometer sejam (km/j) apabila melalui laluan berbukit.

I-WIM-Overall-Concept-smaller

High Speed-Weigh in Motion atau HS-WIM yang bakal dibina di lebuh raya di Malaysia. — Agensi

Berbeza dengan kereta, lori kebiasaannya perlu mengambil masa dari jarak lebih jauh untuk berhenti dan berisiko untuk terbalik antara faktor perlunya ciri-ciri keselamatan tersebut.

Memandang daripada sudut positif, pihak kementerian terlibat boleh mempertimbangkan usaha tersebut untuk dipraktikkan di Malaysia.

Projek membangunkan sistem High Speed-Weigh in Motion atau HS-WIM dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan KKR yang dikatakan dalam fasa terakhir pada Mac lalu juga diharapkan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkualiti.

HS-WIM berfungsi sebagai sistem bagi membolehkan aktiviti penguatkuasaan kenderaan berat dilaksanakan secara masa sebenar dan automatik tanpa memerlukan kenderaan berhenti untuk ditimbang.

Ia juga adalah sistem melalui kamera dilengkapi sensor yang dipasang di atas palang besi di laluan lebuh raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram