Mangsa rogol cedera, suspek penagih dadah dicekup bersama senjata tajam di Ipoh


  • 112
  • Khamis, 20 Apr 2023

Seorang wanita ditemui dalam keadaan trauma selepas dipercayai dirogol di Ipoh, Perak. — Gambar hiasan

POLIS menahan seorang lelaki selepas disyaki merogol seorang wanita yang ditemukan dalam keadaan trauma dan cedera di sekitar Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park, Ipoh, Perak pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa berusia 38 tahun itu ditemukan orang awam yang kemudian membuat laporan polis.

"Sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Senam bergegas ke tempat kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa.

"Hasil siasatan awal, mangsa seorang wanita warga tempatan telah dirogol di rumahnya oleh seorang lelaki warga tempatan yang tidak dikenali, mangsa berjaya melarikan diri dari lokasi kejadian setelah dirogol dan mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terjatuh dari tempat tinggi," katanya dalam kenyataan.

Yahaya berkata, polis memberkas lelaki tempatan berumur 43 tahun itu di rumah mangsa dan merampas beberapa senjata seperti gunting, pisau dan kuku kambing.

Hasil semakan polis, beliau berkata, suspek memiliki beberapa rekod jenayah narkotik lampau dan ujian saringan air kencing juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan pihak polis mendapat perintah tahanan reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula 9 hingga 25 April untuk siasatan lanjut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram