'Mahu rakyat hayati dan kenal peribadi Agong', Pameran Raja Kita bermula Jumaat di Muzium Negara


  • Primer
  • Khamis, 25 Jul 2024

Tiara dan Kalung Diraja yang digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

BERSEMPENA istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Sabtu lepas, Pameran Raja Kita di Galeri 1 dan 2, Muzium Negara, Kuala Lumpur akan dibuat bermula pada Jumaat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Agong Dagang berkata, pameran khas yang berlangsung sehingga 29 September itu akan mempamerkan koleksi regalia Persekutuan, koleksi peribadi Seri Paduka Baginda, koleksi pinjaman dari Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan Muzium Diraja Abu Bakar Johor.

Kira-kira lebih 272 koleksi dan item berkaitan Institusi Yang di-Pertuan Agong serta koleksi peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berada di galeri tersebut.

BACA LAGI: 'Jangan malam Jumaat sahaja, negeri lain pun patut contohi', ramai sokong larangan hiburan pada hari mulia di Kelantan

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara peluk peminat basah atas pentas, penyanyi terkenal Brazil maut kena renjatan elektrik

6131928300763857924

Al-Quran pendek yang diguna sempena istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, terdapat juga koleksi bersejarah seperti manuskip dan dokumen perjanjian berkaitan Institusi Raja daripada agensi lain termasuk Arkib Negara dan Perpustakaan Negara.

Mendidik masyarakat dengan ilmu sejarah, Aaron Agong berkata, elemen utama yang diketengahkan dalam pameran itu adalah berkaitan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang ditandatangan dan diisytiharkan oleh Sultan Abu Bakar pada 14 September 1895 di Istana Besar Johor, Johor.

"Pameran ini juga diadakan sebagai satu inisiatif untuk mengangkat Institusi Yang di-Pertuan Agong dalam sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Konsep Raja Berperlembagaan agar ia terus terpelihara sebagai lambang kedaulatan yang memayungi setiap rakyat negara ini.

"Ini membolehkan rakyat menghayati Institusi Yang di-Pertuan Agong agar lebih mengenali lagi keperibadian Seri Paduka Baginda, sekali gus menyemarakkan slogan raja dan rakyat berpisah tiada," katanya pada majlis perasmian Pameran Raja Kita di Muzium negara pada Khamis.

6131928300763857925

Basikal Chopper Raleigh merupakan kenderaan pertama Sultan Ibrahim.

Pameran khas itu dirasmikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A.Kasim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Pameran Raja Kita di Galeri 1 dan 2 di Muzium Negara merupakan sebahagian daripada acara yang disusun sempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung Sabtu lepas.

Aaron berkata, pameran itu membolehkan orang ramai mengetahui tentang Institusi Raja Berperlembagaan yang mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri.

Tambahnya lagi, institusi diraja sangat penting kerana ia menjadi payung kedaulatan negara.

"Melalui pelbagai program yang dilaksanakan kementerian ini, penghayatan terhadap nilai-nilai penting Rukun Negara akan terus diperkasakan di semua peringkat dan lapisan masyarakat.

"Usaha-usaha ini akan terus dipergiatkan lagi sempena Sambutan 55 Tahun Rukun Negara tahun depan," katanya.

Aaron seterusnya memaklumkan Muzium Diraja di Jalan Istana akan dibuka semula kepada orang awam pada tahun 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram