JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengesahkan 19 individu yang terperangkap akibat kejadian kepala air di Risda Eco Park Kampung Ulu Slim, Perak berada dalam keadaan selamat.
Menurut laporan Buletin TV3, Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya kini dalam keadaan bersedia susulan jambatan untuk ke pusat rekreasi itu runtuh.
“Mangsa terperangkap melibatkan 10 dewasa dan 9 kanak-kanak, kesemua mangsa berada di khemah masing-masing dilaporkan selamat dan stabil menurut sumber daripada pengurus tempat rekreasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
BACA LAGI: DBKL kesan 14 lagi kawasan panas banjir kilat
BACA LAGI: Jalan 'bypass' Serendah-Templer tenggelam akibat banjir kilat, pengguna risau keadaan berlarutan
Menurutnya, air sungai masih belum surut dan pihaknya menunggu sehingga keadaan selamat untuk bergerak ke lokasi yang terletak kira-kira 800 meter dari jambatan berkenaan.
“Tiada akses lain untuk menyeberangi seterusnya ke lokasi kejadian. Trend air menurun namun arus masih deras,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan sekurang-kurangnya 109 individu terperangkap akibat kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village, Slim River, Perak pada Jumaat.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, maklumat kejadian diterima pada pukul 6.45 petang melibatkan Kampung Sungai Bil, Sir Zulkifli Campsite Sungai Bil, Kampung Pasir Ulu Slim dan Risda Eco Park, Ulu Slim.
Beliau berkata, insiden kepala air berlaku di Kampung Sungai Bill disusuli tempat rawatan air di Empangan Kampung Pasir Ulu Slim pecah berhampiran Stesen Janakuasa Hidro Sungai Slim.
Antara jambatan yang roboh akibat fenomena kepala air di kawasan tersebut. — Facebook/Viral Perak
Kejadian itu juga mengakibatkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan iaitu Jambatan Utama Slim Village, Jambatan Ulu Slim dan Jambatan Kampung Piong di Sungai Bil.
Dalam pada itu, pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kapten (PA), Shahrizal Hussin berkata, seramai 170 mangsa banjir sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kejadian kepala air itu.
Menurutnya, PPS pertama dibuka di Masjid Jamek Kampung Pasir kini menempatkan 119 mangsa melibatkan 29 keluarga manakala yang kedua di Masjid Jamek Slim Village menyaksikan 51 mangsa ditempatkan sementara.
“Jambatan besi di kampung berkenaan yang digunakan penduduk juga telah runtuh," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Shahrizal berkata, Jambatan Slim Village berdekatan Balai Polis Slim Village juga runtuh menyebabkan penduduk terputus hubungan sama ada ke arah Slim River mahu pun Tanjung Malim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram