Kena bicara walau tiada isu rasuah, bekas peguam perjelas sebab Tun Daim kena dakwa


  • Massa
  • Selasa, 30 Jan 2024

Daim tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin dengan berkerusi roda bagi berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.

PADA Isnin, bekas Menteri Kewangan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta dimiliknya.

Mengikut pertuduhan, Daim didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah tidak mematuhi terma notis bertarikh pada 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh, Che Abdul Daim Zainuddin, 86, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Di media sosial, terdapat pihak menimbulkan persoalan mengenai pertuduhan berkenaan.

Menurut mereka, ini kerana pendakwaan tersebut tidak melibatkan kes rasuah atau pecah amanah seperti dimaklumkan SPRM sebelum ini.

Untuk rekod, badan pencegahan rasuah itu dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan Daim disiasat antara lain di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

BACA LAGI: [VIDEO] Datang mahkamah berkerusi roda, Tun Daim mengaku tak bersalah gagal isytihar harta

file78exffitb1v19qfcn72w

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

BACA LAGI: Lebih mewah berbanding orang terkaya di Malaysia? Ini 3 perkara mengenai Tun Daim yang patut tahu

Menjawab mengenai persoalan tersebut, seorang bekas peguam tampil memberikan penjelasan berhubung pendakwaan berkenaan.

Menerusi rantaian ciapan di laman X, Liyana Marzuki berkata, secara lazimnya, beban untuk pembuktian kesalahan sememangnya terletak di bawah tanggungjawab pihak pendakwa raya.

Ini kerana prinsip undang-undang menggariskan bahawa seseorang individu itu tidak didapati bersalah hingga dibuktikan bersalah.

Bagaimanapun, dia berkata, sistem perundangan turut menyediakan pengecualian kepada sesetengah kesalahan khususnya melibatkan jenayah besar dan berkepentingan awam.

"Beban itu boleh diterbalikkan. Ini kita gelar peruntukan 'Reverse Onus' atau Beban Terbalik. Maknanya, dalam sesetengah keadaan beban jatuh kepada pihak yang kena tuduh untuk tunjukkan dia tidak bersalah.

"Ini bukan hanya terpakai dalam undang-undang Malaysia, malah undang-undang serata dunia," ujarnya.

Liyana berkata, dalam isu membabitkan kes rasuah, Bank Dunia turut sudah mengeluarkan mekanisme “reverse onus” bagi mengendalikan kes melibatkan kekayaan luar biasa khususnya melibatkan pemimpin.

Ujarnya, ia boleh dibuat melalui 'Unexplained Wealth Order' atau Arahan Harta Yang Tidak Dijelaskan.

Liyana berkata, setakat ini kebanyakan negara maju sudah memiliki peruntukan serupa dalam undang-undang mereka antaranya di United Kingdom, Australia dan Kanada dengan syarat itu perlu dikeluarkan pihak Mahkamah bukan Pendakwa Raya.

"Namun beberapa negara lain seperti Singapura dan Pakistan, arahan ini boleh dikeluarkan oleh pihak polis, penguatkuasa atau Pendakwa Raya tanpa melalui mahkamah.

"Namun syaratnya, perlu ada syak yang munasabah orang tersebut melakukan suatu jenis kesalahan berat rasuah.

"Sama juga di Malaysia, peruntukan Arahan Harta yang Tidak Dijelaskan ini ada dalam Seksyen 36 Akta SPRM 2009," ujarnya yang pernah bertugas sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara (AGC).

Liyana berkata, akta tersebut memberikan kuasa kepada kepada SPRM dalam menjalankan suatu siasatan termasuk mengeluarkan arahan kepada suspek untuk isytihar seluruh hartanya.

"Kalau gagal patuhi arahan, bukannya bermakna si suspek bersalah kesalahan korupsi. Tetapi atas kegagalan itu tadi.Hukuman pun kurang sikit dari kes korupsi.

"Hukuman kegagalan untuk isytihar harta ialah lima tahun penjara dan RM100,000 denda. Berbanding isu korupsi dan salah guna kuasa yang penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan.

"Kita kena faham peruntukan ini sudah ada sejak 2009 dan ia merupakan peruntukan standard yang banyak negara gunakan," katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Selasa dilaporkan berkata, pihaknya tidak menghentikan siasatan terhadap Daim berhubung kesalahan menggunakan kedudukannya untuk suapan rasuah dan kesalahan pengubahan wang haram.

Katanya, siasatan di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA ketika ini masih diteruskan meskipun Daim kini sudah berdepan pertuduhan di mahkamah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram