Elak risiko tertuduh larikan diri, mahkamah tolak permohonan isteri Tun Daim tuntut semula passport


Toh Puan Na’imah Abdul Khalid gagal dalam usahanya untuk mendapatkan semula pasportnya secara kekal.

PERMOHONAN isteri Tun Daim, Toh Puan Na’imah agar mahkamah memulangkan semula pasportnya secara kekal ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.

Hakim, Datuk Ahmad Bache berkata, mahkamah mengambil kira risiko yang bakal berlaku termasuk kemungkinan tertuduh melarikan diri.

Datuk Ahmad juga berpendapat tiada sebarang isu ketidakadilan timbul berikutan beberapa kes profil tinggi sebelum ini berdepan proses sama.

“Mahkamah ambil kira risiko dan bersetuju dengan pandangan pihak pendakwaan memandangkan suami tertuduh (Tun Daim) tidak menyerahkan pasport dan berkemungkinan perlu jalani rawatan di luar negara.

“Skiranya pasport Na'imah dikeluarkan, ada kemungkinan kedua-dua suami isteri akan ke luar negara dan tidak pulang.” katanya pada Jumaat.

Terdahulu, permohonan itu juga dibantah pihak Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Wan Shaharuddin berkata, tertuduh boleh membuat permohonan sekiranya terdapat urusan di luar negara misalnya berkenaan perniagaan mahu pun rawatan kesihatan.

A conversation with Tun Dr Daim. Poverty in Malaysia: Reality vs Perception RAJA FAISAL HISHAN/The Star.

Bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin disiasat atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Dalam pada itu, hakim turut menyentuh mengenai isu pelanggaran hak yang dibangkitkan tertuduh.

Menurutnya, apabila berlaku pertuduhan jenayah terhadap seseorang maka hak mutlak pemilikan pasport itu akan bertukar.

“Apabila tertuduh berdepan tuduhan jenayah hak pasport bukan lagi menjadi hak mutlak dan akan bertukar dan perkara ini juga telah diputuskan di mahkamah tertinggi.

“Tidak ada apa-apa ketidakadilan yang berlaku dalam kes ini dan mahkamah tolak permohonan tersebut,” katanya lagi.

Sebelum ini, permohonan itu berikutan Na’imah ditahan Mahkamah Sesyen selepas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah, 67, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan terhadap semua pertuduhan terhadapnya. — TheStar/Nurbaiti Hamdan

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram