[VIDEO] Datang mahkamah berkerusi roda, Tun Daim mengaku tak bersalah gagal isytihar harta


Tun Daim mengaku tidak bersalah pada Isnin atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

BEKAS Menteri Kewangan, Tun Che Abdul Daim Zainuddin, mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Tun Daim, 86, minta dibicarakan sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Tun Daim didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah tidak mematuhi terma notis bertarikh 13 Disember 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Terdahulu, beliau tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.45 pagi dalam keadaan berkerusi roda turut ditemani isterinya, Datin Toh Puan Na'imah Khalid.

BACA LAGI: Tun Daim sedia didakwa walaupun masih di hospital, tegas Toh Puan Na’imah

Harta itu membabitkan aset antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, 38 syarikat dan 25 hartanah serta tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Kedah.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pada 13 Disember 2023.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Daim diwakili peguam, M Puravelan.

BACA LAGI: Isteri Tun Daim didakwa kerana gagal isytihar aset

Terdahulu, media melaporkan Tun Daim memberitahu beliau akan didakwa pada 29 Januari ini.

Daim berkata, Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) telah mengambil rekod keterangannya pada Jumaat dan dimaklumkan akan dibawa ke muka pengadilan pada tarikh berkenaan.

"Peguam saya telah dimaklumkan bahawa saya akan didakwa pada Isnin atas kesalahan di bawah Seksyen 36 (2) Akta SPRM iaitu gagal mengisytihar harta.

"Jadi, saya menanti hari berada di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. — The Star/NURBAITI HAMDAN dan TEH ATHIRA YUSOF

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram