Bekas SU Politik Hamzah Zainuddin hadapi 2 lagi tuduhan rasuah


Sayed Amir yang merupakan bekas setiausaha politik kepada Hamzah Zainuddin didakwa menerima rasuah berjumlah RM350,000.

BEKAS setiausaha politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan rasuah bernilai RM350,000 bagi membantu syarikat mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad bagaimanapun mengakui tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

“Faham (pertuduhan), saya mohon dibicarakan,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Tujuh wakil rakyat BERSATU ada 14 hari balas surat, berisiko hilang keahlian parti

BACA LAGI: Berhenti menipu! Hamzah tak pernah ditawar jawatan setiausaha agung — Zahid Hamidi

439411152_939777348149914_610746401467156717_n

Sayed Amir dilaporkan menerima sogokan daripada Nexuscorp empat tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Sayed Amir didakwa atas tuduhan menerima rasuah daripada Pengarah Urusan Kumpulan Nexuscorp Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof di Jalan Keluli 7/109, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada Disember 2020

Wang diterima dikatakan berbentuk sogokan untuk membantu syarikat itu memperolehi tender untuk membekalkan dan membaik pulih alat ganti bagi infrastruktur, pelayan, perisian dan sistem radio RMPNET bagi PDRM yang bernilai RM381,112,042.44.

Sayed Amir dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada amaun rasuah diterima atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farhana Ismail memohon mahkamah menggunapakai ikat jamin yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin.

"Ia termasuk syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sekali setiap bulan. Kami juga memohon untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, peguam, Md Yunos Shariff yang mewakili Sayed Amir Muzzakkir tidak membantah cadangan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Awang Kerisnada membenarkan permohonan berkenaan termasuk penetapan tarikh sebutan semula kes, di Kuala Lumpur pada 12 Julai depan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram