Beri hadiah, anjur parti untuk VIP boleh pupuk budaya rasuah dalam perkhidmatan awam


  • Primer
  • Sabtu, 03 Ogos 2024

Budaya menyambut program turun padang ketua jabatan atau pihak atasan dengan jamuan mewah, pemberian hadiah atau menjalankan acara lain untuk meraikan harus dibuat secara telus, dikurangkan atau lebih baik dihentikan.

BUDAYA Pemberian hadiah, keraian atau tajaan dalam program di perkhidmatan awam yang yang secara tradisinya dilihat sebagai tanda hormat dan penghargaan kepada pegawai berpangkat tinggi boleh memupuk budaya rasuah jika dibiarkan.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar, berkata memberi penghormatan merupakan amalan lama di mana orang bawahan membuat sumbangan wang, emas atau hadiah kepada pegawai berpangkat lebih tinggi sebagai tanda penghormatan masih berleluasa hari ini.

Dalam perkhidmatan awam moden, amalan serupa masih berlaku. Contohnya, majlis makan mewah dijadikan budaya menyambut tetamu yang turun padang, untuk melawat projek.

Ismail berkata, budaya menyambut program turun padang ketua jabatan atau pihak atasan dengan jamuan mewah, pemberian hadiah atau menjalankan acara lain untuk meraikan harus dibuat secara telus, dikurangkan atau lebih baik dihentikan.

BACA LAGI : Kadar obesiti penjawat awam di Putrajaya paling tinggi — Mohd Zuki

BACA LAGI : [VIDEO] Penculik minta tebusan Bitcoin RM5.4 juta maut berbalas tembakan dengan polis di Johor — Shuhaily

Beliau mendedahkan terdapat aduan apabila kakitangan terpaksa menyediakan peruntukan untuk menyambut 'tetamu' yang turun padang contohnya jamuan makan malam, bermain golf dan lain-lain.

"Kalau tak ada peruntukan (maka) terpaksa minta penajaan. Kadang-kadang mungkin senang dapat penajaan, kadang-kadang susah atau terpaksa jumpa aktiviti underground untuk menyumbang sebab 'bos' nak datang (kena) sediakan makan malam, hadiah yang besar mengikut gred,"katanya.

Ismail

Tan Sri Dr Ismail Bakar

Ismail berkata, walaupun lawatan lapangan bermanfaat, meraikan ketua jabatan secara berlebihan dengan mengorbankan pegawai lain adalah tidak perlu dan tidak produktif.

“Kunjungan turun padang memang berharga, namun sambutan keterlaluan ketua jabatan terutama apabila dibiayai kakitangan yang bergaji rendah membawa kepada budaya bermasalah,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai bebanan kakitangan untuk menyediakan sumbangan bagi majlis perpisahan atau majlis perkahwinan yang melibatkan pihak atasan yang sering menyebabkan kakitangan mendapatkan sumbangan daripada sumber luar yang berurusan dengan jabatan berkenaan.

"Bos menganjurkan jamuan dan menjemput semua orang, tetapi jika ini berlaku terlalu kerap, ia menjadi beban. Apabila kos tidak mencukupi, kakitangan diminta mengumpul dana, atau mereka yang mempunyai kuasa diminta menyediakan tempat, meja dan makanan.

"Kita sepatutnya telah maju melampaui amalan ini menjelang 2024. Kadangkala pemberian yang tidak sesuai diberikan, yang boleh membawa kepada pelanggaran integriti jika tidak ditangani dengan serius," tambahnya.

Ismail menggesa penjawat awam supaya mematuhi dasar tidak memberi hadiah dan berhati-hati, terutamanya ketua jabatan, sama ada pemberian itu boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk menguatkuasakan peraturan jabatan.

"Kita sudah ada dasar tanpa hadiah. Ia cuma perlu dilaksanakan. Mengelakkan amalan yang boleh membawa kepada fitnah adalah penting jika anda komited untuk mengekalkan tahap integriti yang tinggi," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram